Cari @ Amanz

Garmin adalah syarikat yang terkenal dengan perkakasan GPS atau navigasi. Sebagai satu syarikat teknologi, mereka juga tidak ketinggalan dalam arena peranti boleh pakai. Mereka ada banyak produk peranti boleh pakai, seperti Garmin Venu, Garmin MarQ, Garmin Fenix dan lain-lain. Jam tangan pintar mereka bukanlah seperti jam tangan pintar Wear OS atau watchOS, tetapi mempunyai sistem operasi yang tersendiri dan ada fokusnya yang tersendiri.

Dalam artikel ini akan saya ulas Garmin Venu. Ia adalah jam tangan pintar yang memfokuskan gaya hidup dan kesihatan. Venu ini difokuskan kepada penggunaan yang ringan, seperti tidak melakukan aktiviti lasak, senaman ringan, joging harian atau berenang. Kemudian, rekaannya adalah minimalis dan sesuai dengan apa jua pakaian. Untuk ketahui apakah pengalaman penggunaan saya dengan Garmin Vernu, teruskan baca artikel ini sehingga habis.


Spesifikasi

Garmin Venu menggunakan skrin AMOLED dengan pilihan skrin sentiasa hidup. Saiz skrin adalah kecil sahaja, iaitu 1.2-inci. Garmin tidak berkongsi mengenai cip pemproses yang mereka gunakan dan juga nama sistem operasinya. Tambahan untuk skrin, ia dilindungi dengan Gorilla Glass 3 yang mana boleh dikatakan sedikit lapuk. Sedangkan sekarang sudah pun sampai Gorilla Glass 6. Sensor-sensor terbina pula adalah GPS, GLONASS, Galileo, pengimbas nadi Garmin Elevate, altimeter barometrik, kompas, giroskop, sensor pecutan, termometer dan juga sensor Pulse Ox.

Untuk skrin, pendapat saya ia adalah skrin terbaik setakat ini dalam sepasang jam tangan pintar. Skrin AMOLEDnya amat cerah, cantik dan warnanya hidup. Semestinya, kandungan berwarna hitam memang benar-benar hitam. Apabila saya berjalan-jalan di luar, di bawah cahaya matahari langsung tiada masalah untuk lihat skrin dengan jelas. Kecerahannya juga boleh dilaras, tetapi ia tidak berubah secara automatik dan perlu dilaras secara manual.

Dengan skrin yang cantik ini, ia dipadankan dengan fungsi jam yang normal. Ia boleh melihat masa, tarikh, masa penyelarian GPS, penggera dan banyak lagi fungsi-fungsi jam biasa.

Menggunakan Venu sebagai jam harian untuk gaya hidup yang menarik adalah hebat. Disebabkan jam ini bukan jam tangan pintar penuh, ia masih memerlukan aplikasi Connect IQ untuk memuat turun muka jam, fungsi-fungsi, aplikasi, widget dan data-data penjejakan. Ia juga mempunyai fungsi pemberian notifikasi yang baik dan efisien. Cuma sayang sekali, tiada apa-apa yang boleh dilakukan selain lihat sahaja atau tidak lalai akan notifikasi yang diterima. Notifikasi pada Venu langsung tidak boleh dibalas dan teksnya hanya dipaparkan dalam beberapa baris sahaja (untuk iOS). Hanya di Android sahaja, beberapa respon teks boleh dilakukan atau mematikan panggilan telefon.

Terdapat juga kalendar, cuaca, fungsi mengawal muzik, dan kemampuan mencari di mana lokasi jam dan peranti pengguna. Lain-lain fungsi asas jam tangan pintar turut dikekalkan. Ada fungsi pembayaran nirtunai, namun ia tidak boleh digunakan di Malaysia setakat ini.

Sebelum kita beralih kepada kemampuan penjejakan jam ini, akan saya kongsi fungsi-fungsi menarik yang ada terbina dalam jam ini. Yang pertama sudah semestinya pedometer, menetapkan sasaran aktiviti secara automatik mengikut aktiviti pengguna. Kemudian, ia boleh menjejak tidur dan juga membuat kiraan kalori terbakar, anak tangga yang sudah dinaiki, jarak perjalanan, serta beberapa fungsi khas TrueUp, Move IQ Fitness Age, Body Battery Energy Monitor dan penjejakan stres.

Fungsi-fungsi ini kebanyakannya adalah pintar. Ia akan ditetapkan dengan sendiri dan menjejak secara automatik. Setakat ini juga, ini adalah satu-satunya jam yang mempunyai pelbagai fungsi penjejakan. Jadi, pengguna boleh lihat tahap kesihatan sendiri, sebelum membuat penilaian bersama doktor untuk pengesahan. Lebih-lebih lagi Pulse Ox dan fungsi pemantauan stres.

Aplikasi

Aplikasi yang perlu digunakan untuk Garmin Venu ini berfungsi dengan lebih baik adalah Connect dan bukan sahaja Connect IQ. Connect IQ adalah gedung aplikasi, manakala Connect adalah aplikasi utama. Dalam aplikasi ini, pengguna boleh menambat pelbagai lagi peranti boleh pakai Garmin dan membuat pelbagai tetapan akaun.

Pertama sekali adalah alatan gim dan kecergasan. Ia adalah fungsi khusus untuk mereka yang kerap ke gim. Antara aktiviti yang boleh pengguna lakukan agar Venu menjejak dengan baik adalah; senaman kardio, senaman kekuatan, yoga dan pilates. Setiap aktiviti gim ini juga, akan ada animasi yang terpapar di skrin bagi membantu pengguna. Profil-profil yang boleh ditetapkan adalah tenaga, kardio, senaman elips, memijak anak tangga, mendayung, senaman bernafas dan banyak lagi.

Untuk latihan yang lebih dahsyat, membuat perancangan dan fungsi mengalisa juga disertakan. Misalnya, data GPS untuk lihat kelajuan dan jarak, fungsi auto jeda, pelan latihan yang boleh dimuat turun, dan banyak lagi. Untuk mengimbas nadi pula, ia bukan pengimbas yang biasa-biasa. Ada pelbagai profil dan data yang boleh dijana dari sensor pengimbas nadi yang terbina. Begitu juga dengan aktiviti berlari, yang ada profil tersendiri untuk berlari di atas treadmill, berjoging di luar atau berlari di atas litar. Bagi yang tidak begitu gemar bersukan atau aktiviti lasak, ada juga profil penjejakan untuk aktiviti golf sahaja.

Fungsi yang banyak saya gunakan adalah penjejakan berenang dan berlari. Ya, lupa saya  sebutkan yang jam ini ada perlindungan kalis air 5ATM dan ia mesra untuk di bawa berenang. Okay untuk berenang, pengguna boleh tetapkan jarak kolam dan juga boleh bermain dengan masa seperti lap, semak nadi dan beberapa lagi data lain. Begitu juga dengan berlari, banya profil boleh ditetapkan. Seperti saya, kejap ditetapkan untuk treadmill, kadangkala di luar. Tetapi kebanyakan kalinya, saya biarkan sahaja – kerana ada fungsi automatik. Jika saya tidak tetapkan apa-apa, dan banyak berjalan – kadangkala secara tiba-tiba ada notifikasi memberitahu yang saya sudah mencapai sasaran saya.

Rekaan

Bezel pada jam diperbuat dari besi tahan karat, manakala kerangkanya pula adalah dari gentian yang diperkuatkan dengan bahan polimer. Tali jam adalah sedikit “murah” kerana silikon sahaja. Namun, jika memakainya akan terasa selesa. Tetapi apabila berpeluh, akan terasa sedikit gatal-gatal dan membuatkan saya terus membukanya. Rekaan jam ini adalah bulat dan saiznya juga tidak begitu besar. Jadi, tidak kira lelaki atau perempuan ia sesuai untuk kedua-dua jantina.

Hanya terdapat dua butang sahaja pada jam ini, dan ia mudah digunakan. Cuma, masa untuk belajar agar biasa dengan setiap kawalan adalah sekitar 1 minggu. Disebabkan jumlah butang yang terhad, banyak fungsi perlu diakses dengan tekan dan tahan. Kawalan sesentuh juga ada dan ia memang lancar. Tetapi, jelas di sini Garmin cuba meniru Wear OS. Walaupun tidak sehebat Wear OS, ia adalah lebih lancar.

Bateri

Bateri pada jam ini dikatakan bertahan selama 5 hari sahaja jika menggunakan mod jam tangan pintar. Kemudian GPS dan muzik adalah enam jam sahaja dan jika hanya GPS adalah 20 jam. Namun dalam penggunaan saya, mod jam tangan pintar bertahan selama tujuh hari dengan pelbagai notifikasi diaktifkan. Tetapi, muzik dan GPS tidak saya gunakan.

Disebabkan saya tidak aktif bersenam, jadi saya jarang menggunakan GPS Venu ini. GPSnya tidak dinafikan tepat, tetapi untuk mengunci lokasi ia mengambil sedikit masa dan membuatkan saya tidak puas hati. Cara pengecasan pula adalah melalui kabel tersendiri. Ia menjengkelkan kerana, port pengecasan berada di bawah jam dan apabila sedang dicas sukar untuk lihat jam.

Konklusi

Garmin Venu ini adalah jam tangan yang amat hebat dalam tujuan bersenam, aktiviti lasak, atau juga berenang. Namun untuk kegunaan harian dan fokus kepada gaya hidup adalah tidak begitu baik. Ini kerana harganya adalah RM1799 dan pada saya ia tidak cukup pintar untuk menjadi jam tangan pintar.

Ia adalah lebih kepada Mi Band 4, tetapi dengan kemampuan pemantauan data kesihatan pengguna serta aktiviti pengguna dengan lebih jitu dan hebat. Untuk penggunaan gaya hidup, pada saya Apple Watch Series 3 lebih baik dan efisien. Harga juga adalah lebih murah dan masih kekal berkuasa.


PRO dan Kelebihan

  • Skrin amat cantik dan terang
  • Ketahanan bateri yang memuaskan
  • Fungsi penjejakan yang lain daripada yang lain
  • Jam mudah dikawal dan digunakan

KONTRA dan Kekurangan

  • Harga terlampau mahal
  • Aplikasi sukar digunakan
  • Getaran tidak cukup hebat
  • Tidak cukup pintar

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd