Cari @ Amanz

Realme 5 adalah barisan produk Realme yang dilancarkan di Malaysia pada bulan Oktober lepas. Realme hadir dengan dua model, Realme 5 dan Realme 5 Pro. Ia adalah peranti kelas pertengahan yang dijual pada harga mampu milik. Peranti-peranti ini boleh dikatakan adalah peranti kuad-kamera yang murah dan mendapat perhatian ramai. Terkini, Realme hadir lagi dengan peranti kelas pertengahan di bawah Realme 5 – iaitu Realme 5s.

Apa ada dengan Realme 5s ini? Apa pula fokus Realme dan untuk siapakah peranti ini?


Spesifikasi

Realme 5s menggunakan skrin bersaiz 6.5-inci dari panel IPS LCD. Resolusi pula hanya HD+ dengan perlindungan Gorilla Glass 3+. Cip pemprosesan yang digunakan adalah Snapdragon 665 dan dipadankan dengan memori 4GB RAM dan storan dalaman sehingga 128GB. Jika 128GB tidak mencukupi, ada pilihan microSD sehingga 256GB.

Beralih ke bahagian kamera, kamera utama adalah sistem kuad-kamera yang menggabungkan lensa 48MP f/1.8 + 8MP f/2.2 sudut ultra lebar + 2MP f/2.4 makro + 2MP f/2.4 lensa kedalaman. Untuk kamera swafoto pula, lensa 13MP f/2.0 digunakan. Bateri yang dimuatkan dalam peranti ini adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan perlahan 10W. Untuk sekuriti, ia menggunakan pengimbas cap jari fizikal yang klasik di belakang peranti.

Pengalaman Penggunaan

Sebaik sahaja saya cuba menggunakan peranti ini, sudah ada banyak perasaan negatif terbayang-bayang dalam fikiran. Peranti ini ibarat membawa aura tidak baik kepada diri saya. Kenapa? Menatal di skrin pada peranti ini adalah tidak menyeronokkan. Terasa perlahan, ada sela masa dan peralihan animasi juga membuatkan peranti ini terasa seperti tersangkut-sangkut – sedangkan tidak. Ujian tanda aras AnTuTu mencatat skor sebanyak 174448. Manakala Geekbench 5 pula mencatat skor 315 satu teras dan 1393 untuk multi-teras. Ya, benar, ia bukannya skor yang tidak diidamkan orang ramai. Tetapi, dalam ujian ringkas prestasi yang perlahan ini perlu mengambil masa sedikit lebih lama untuk biasakan diri.

Skrin pada peranti ini mempunyai kecerahan yang baik. Pengalaman menonton video pula tidak memberikan pengalaman yang imersif. Ini kerana peranti mempunyai bezel yang agak tebal, dagu yang besar dan keseluruhan tidak konsisten. Kualiti paparan walau bagaimanapun, adalah baik. Kandungan video HDR yang dimainkan di YouTube memaparkan warna yang hidup, butiran yang cukup jitu dan memuaskan. Namun, apabila membesarkan kandungan video ke skrin penuh – kandungan dilihat sedikit pecah.

Pembesar suara pada peranti ini adalah cukup kuat apabila berada di jarak yang baik. Aras suara yang maksima adalah memuaskan, tetapi sedikit bingit. Cuma janganlah letakkan pembesar suara secara terus berdekatan dengan telinga. Pembesar suara hanya mono dan untuk peranti seperti ini, aras suaranya layak menerima satu pujian.

Kamera

Kualiti kamera, di atas kertas spesifikasi sepatutnya adalah hebat. Namun dalam ujian saya, ia memperlihatkan kualiti yang mengecewakan. Lensa utama adalah 48MP, ia nampak jelas dan cantik. Keperincian dalam gambar yang diambil adalah tidak baik. Apabila zum sedikit banyak hingar kelihatan dan kesan kabur. Namun, jika terus ambil gambar dan lihat begitu sahaja – warnanya hidup, terang dan cantik. Terdapat fungsi Chroma Boost, yang sepatutnya meningkatkan nilai keHDRannya. Namun, ia lebih kepada penuras sahaja dan hasilnya hanya cantik mengikut situasi sahaja. Mod potret dari kamera belakang adalah baik, malah warna yang dihasilkan lebih baik dari mod biasa.

Kamera swafoto pula, hasilnya adalah bagus. Namun ia masih kelihatan sedikit lembut walaupun mod kecantikan sudah dimatikan. Seperti kamera utama, apabila di zum ada banyak hingar dan butiran terus lari. Swafoto dengan mod potret pula mempunyai kabur yang baik. Namun di bahagian sisi, ia tidak kaburkan dengan lebih jitu.

Rekaan

Peranti menggunakan rekaan yang standard bagi sebuah peranti Realme. Di panel belakang, ia adalah plastik begitu juga pada bingkai peranti. Di panel belakang terdapat corak berlian berulang yang memang popular pada peranti Realme. Di atas, sisi kiri adalah lokasi kuad-kamera dengan bonjol yang tidak begitu tinggi. Kemudian terdapat juga pengimbas cap jari fizikal di tengah atas dan logo Realme di bawah kiri. Pada bahagian bawah peranti, terdapat port bicu audio 3.5mm, port microUSB dan juga kekisi pembesar suara. Tiada apa-apa di bahagian atas.

Di sisi kanan adalah butang kuasa sahaja. Di sisi kiri adalah butang aras suara dan slot kad SIM. Pada bahagian skrin, ia hodoh. Earpiece berada di atas takut di kawasan bingkai atas. Peranti ini agak berat dan tidak selesa di tangan. Kotoran cap jari juga mudah melekat pada peranti ini. Kemudian, disebabkan peranti ini diperbuat daripada plastik – ia terasa murah.

Konklusi

Peranti ini dilihat seperti masih meneruskan fokus kepada peranti dengan kuad-kamera yang murah. Secara keseluruhan, ia mempunyai spesifikasi yang sama sahaja dengan Realme 5. Tetapi, kamera utama adalah 48MP. Jadi, jika mereka yang menginginkan kamera yang lebih hebat dari Realme 5 – Realme 5s adalah jawapannya. Harga peranti ini masih belum diumumkan lagi. Ia hanya akan dilancarkan pada esok hari.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd