Dua hari lepas, telah kami laporkan yang Realme bakal melancarkan TWS mereka tersendiri Realme Buds Air. Ia adalah set fon telinga nirwayar sebenar dari Realme dengan rekaan yang 99% mirip Apple AirPods. Jadi, boleh dikatakan ini adalah aksesori audio klon yang berjenama? Realme Buds Air ini hanya akan dilancarkan pada 17 Disember kelak dan tidak banyak lagi butiran yang diterima, sehinggalah hari ini.
Pihak GSMArena telah menerima laporan eksklusif yang mengesahkan, Realme Buds Air turut akan hadir dengan sokongan pengecasan nirwayar. Untuk warna pula, ia dikatakan akan hadir dengan warna kuning, hitam dan putih. Pemacu audio yang digunakan adalah jenis 12mm dan dikatakan akan dijual pada harga sekitar Rs. 4,999, iaitu sekitar RM294.30.