Cari @ Amanz

Minggu hadapan pada 19 Disember 2019, Star Wars: The Rise of Skywalker akan ditayangkan di pawagam Malaysia. Filem ini adalah filem terakhir yang memfokuskan kisah Skywalker, filem ke sembilan, dan trilogi terakhir. Banyak teori menarik, banyak info menarik dan pelbagai kejutan yang Disney sediakan untuk peminat. Pasti ramai yang tidak sabar.

Sempena tarikh tayangan yang sudah dekat ini, Facebook menyambut kehangatan Star Wars: The Rise of Skywalker dengan mengemaskini aplikasi Facebook Messenger dengan tema Star Wars. Tema ini adalah edisi khas dan terhad, ia akan terdapat untuk antaramuka aplikasi itu sendiri, pelekat, reaksi dan kesan realiti terimbuh. Kesemua ini tidak mustahil kerana, Facebook dan Disney bekerjasama. Menariknya, pelekat yang disediakan adalah bertemakan The Rise of Skywalker dan mewakili kedua-dua pihak gelap dan terang.

Untuk menggunakan tema Star Wars ini pada Messenger, buka bebenang perbualan dengan rakan, tekan nama mereka, pilih Theme dan pilih Star Wars. Untuk pelekat, di bahagian pelekat tekan tambah dan muat turun seperti mana anda muat turun pelekat-pelekat lain. Tetapi, kemaskini ini hanya akan hadir secara berperingkat dan tidak semua orang akan menerimanya serentak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd