Carian
Ini Adalah Kelajuan Rangkaian-Rangkaian Ujian 5G Di Langkawi
December 16, 2019 Nazrin

Pada hujung minggu yang lalu, kami telah diberi peluang oleh Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melawat beberapa lokasi projek ujian rangkaian 5G di Pulau Langkawi.

Syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan semua hadir dengan projek-projek mereka tersendiri, tetapi kami telah berkesempatan untuk menguji rangkaian-rangkaian 5G mereka dengan ujian Speedtest untuk melihat sendiri kelajuannya.

Maxis

Maxis mempunyai sebuah projek e-kelas di Kampung Padang Wahid yang menggunakan teknologi penstriman dan juga realiti gabungan (mixed reality) untuk pembelajaran beberapa matapelajaran seperti Sains dan Sejarah.

Rangkaian 5G Maxis menggunakan spektrum C Band, dan ujian dijalankan menggunakan peranti Huawei Mate 30 Pro 5G. Kelajuan yang dirakam ialah 917Mbps.

U Mobile

U Mobile bekerjasama dengan sebuah syarikat tele-perubatan Doctor On Call untuk membina sebuah pod perubatan yang bukan sahaja membolehkan pengguna untuk mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor melalui penstriman video, tetapi doktor tersebut juga boleh menjalankan beberapa ujian yang mudah.

Rangkaian 5G U Mobile agak menarik kerana mereka mempunyai dua rangkaian 5G yang berbeza, dimana salah-satu daripadanya menggunakan spektrum mmWave yang mempunyai kelajuan penghantaran data yang lebih pantas, dan spektrum C Band untuk peranti mudah-alih, dimana peranti ZTE Axon 10 Pro 5G digunakan untuk ujian kepantasan 5G.

Kelajuan rangkaian 5G mmWave U Mobile ialah 4.5Gbps, manakala kelajuan rangkaian 5G C Band mereka ialah sekitar 1,2Gbps,

Digi

Digi bekerjasama dengan Hospital Langkawi untuk menyambungkan ambulans-ambulans mereka dengan rangkaian internet supaya mereka boleh menghantar butiran ECG pesakit terus ke hospital untuk memudahkan doktor menyelamatkan pesakit yang memerlukan bantuan.

Digi turut menggunakan spektrum C Band, dan peranti yang digunakan untuk menguji rangkaian 5G mereka ialah ZTE Axon 10 Pro 5G. Kelajuan yang dapat dilihat ialah 1.0Gbps.

TM

Telekom Malaysia telah membangunkan sebuah sistem kamera litar tertutup disekitar Pantai Cenang yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis tujuan.

Rangkaian 5G TM di Pulau Langkawi juga agak menarik kerana mereka adalah satu-satunya syarikat telekomunikasi disana yang menggunakan kelengkapan SA, ataupun Standalone yang membolehkan rangkaian 5G mereka hadir dengan sela-masa yang lebih rendah berbanding mereka yang menggunakan kelengkapan gabungan 4G dan 5G.

Ujian kepantasan penghantaran data mereka diuji menggunakan peranti Huawei Mate 30 Pro 5G, dan ujian tersebut memperlihatkan kelajuan sehingga 1.2Gbps.

Komen