Sistem Pengecaman Wajah AliPay Dan WeChat Berjaya Ditipu Menggunakan Topeng 3D

Sistem Pengecaman Wajah AliPay Dan WeChat Berjaya Ditipu Menggunakan Topeng 3D

Diterbitkan pada Dis 16, 2019 oleh .

Sistem pengecaman wajah adalah antara isu sensitif yang sedang hangat dibincangkan di negara Barat. Di China, sistem pengecaman wajah telahpun digunakan untuk pembayaran produk serta perkhidmatan menerusi AliPay dan WeChat. Firma penyelidikan Kneron hari ini mendakwa sistem yang digunakan sekarang dapat ditipu dengan menggunakan topeng tiga dimensi.

Topeng yang dihasilkan menggunakan cetakan 3D ini membolehkan penggodam melakukan pembelian dengan menggunakan akaun perbankan pengguna lain. Ini menimbulkan kerisauan kerana AliPay dan WeChat hanya memerlukan wajah pengguna sebagai pengesahan identiti tanpa lapisan keselamatan sekunder seperti nombor pin.

Tambah merisaukan, sistem pengecaman wajah untuk melepasi pintu keselamatan Lapangan Terbang Schipol di Belanda pula boleh dipintas dengan gambar dari skrin telefon pintar. Teknik yang sama turut berjaya digunakan untuk membayar tiket dan memasuki kereta api di China. Secara teorinya seorang pengganas boleh menggunakan identiti palsu untuk menggunakan pengangkutan awam.

Pihak AliPay, WeChat dan Schipol masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai kerentanan sekuriti ini. Di Malaysia sistem pengecaman wajah sebagai ganti pas penerbangan telah diaktifkan di Lapangan Terbang Johor Bahru. Jika kerentanan yang sama berlaku, mungkin sistem pengecaman wajah masih belum bersedia untuk menggantikan saringan keselamatan manual sedia ada.



TIPS & ULASAN