Cari @ Amanz

Pada hujung minggu yang lalu, beberapa syarikat telekomunikasi tempatan yang terkemuka telah menunjukkan projek ujian rangkaian 5G mereka di Pulau Langkawi.

Diantaranya ialah U Mobile yang menunjukkan bagaimana dengan rangkaian tersebut, para pesakit yang terletak di kawasan luar bandar, ataupun tempat-tempat dimana klinik dan doktor sukar untuk ditemui, dan perubatan tidak mudah dibeli.

Di Pulau Langkawi, pihak U Mobile telah bekerjasama dengan DoctorOnCall, iaitu sebuah perkhidmatan tele-perubatan dimana pesakit boleh mendapatkan konsultasi doktor dan membeli ubat-ubatan yang diperlukan secara atas-talian.

Dengan kerjasama tersebut, U Mobile telah membina sebuah pondok konsultasi doktor yang dinamakan DocPOD, dimana pesakit boleh mendapatkan konsultasi daripada doktor bertauliah melalui penstriman video beresolusi tinggi yang menggunakan sambungan rangkaian 5G.

Selain daripada itu, pesakit boleh juga membuat saringan kesihatan asas seperti pemeriksaan tekanan darah, menguji tahap gula dalam darah dan sebagainya.

Menurut DoctorOnCall, selepas pemeriksaan, doktor kemudiannya akan menghantar preskripsi ubat pesakit ke sebuah farmasi, dimana ubat-ubat tersebut kemudiannya akan dihantar terus ke rumah pesakit.

Sebuah lagi kerjasama U Mobile didalam bidang perubatan ialah bersama-sama dengan MEDCOM, iaitu sebuah peranti perubatan yang membekalkan maklumat klinikal, fisiologi dan diagnostik masa sebenar melalui sambungan 5G.

Rangkaian 5G dikatakan penting untuk keberkesanan peranti ini kerana saiz data yang perlu dihantar kepada doktor-doktor perubatan melalui peranti MEDCOM ini agak besar.

Selain daripada sambungan WiFi jalur lebar ataupun gentian optik, rangkaian 5G adalah satu-satunya rangkaian yang mempunyai kapasiti kelajuan yang cukup laju untuk menghantar data tersebut dalam masa nyata.

Buat masa ini, ujian peranti 5G oleh U Mobile dan MEDCOM ini sedang dijalankan di Hospital Sultanah Maliha di Pulau Langkawi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd