Cari @ Amanz

Beberapa hari lepas, Oppo telah memperlihatkan set fon telinga nirwayar sebenar mereka Oppo Enco Free. Ia adalah set fon telinga nirwayar sebenar dari Oppo dan adalah jawapan Oppo kepada Apple AirPods. Tunggu, jangan asyik bising kenapa syarikat “Android” asyik tiru Apple. Anda perlu pandang di sudut yang positif. Apple AirPods adalah antara TWS pertama yang menarik perhatian ramai, sebelum jenama-jenama lain hadir dengan variasi yang tersendiri.

Jadi, Oppo mungkin mengambil inspirasi dan cuba “menghargai” ciptaan hebat Apple (LOL). Oppo Enco Free hanya akan dilancarkan pada 26 Disember ini, bersama-sama dengan Oppo Reno3. Syukur Alhamdulillah, satu unit telah tiba di makmal Amanz untuk diuji. Dalam artikel ini, akan saya kongsikan pendapat mengenai Oppo Enco Free.


Spesifikasi

Oppo Enco Free adalah produk kedua dalam siri Enco dari Oppo selepas Enco Q1. Enco Q1 hadir dengan sokongan pembatalan hingar, tetapi Enco Free tidak. TWS ini menggunakan pemacu audio 13.4mm jenis dinamik dengan tindak balas frekuensi dari 16Hz sehingga 20kHz. Teknologi Bluetooth yang digunakan adalah Bluetooth 5.0 dan mempunyai jarak tambatan sehingga 10 meter. Untuk bateri, dengan aras suara 50% ia boleh bertahan sehingga 5 jam dengan sekali pengecasan. Manakala jika dicas dengan pod pengecasannya, ia akan mempunyai jangka hayat sehingga 25 jam.

Disebabkan tiada pembatalan hingar aktif pada Enco Free, Oppo telah menggunakan sistem pembatalan hingar AI uplink untuk panggilan telefon yang lebih jelas. Untuk kawalan pula, pada bahagian tangkai Enco Free ini terbinanya sensor sesentuh untuk kawalan menatal dan sentuhan.

Kualiti Audio

Tahukah anda yang Oppo adalah sebuah syarikat audio berkualiti tinggi sebelum menerjah masuk ke arena pembuatan telefon pintar? Jadi untuk syarikat yang pernah ada pengalaman dalam pembuatan barangan audio berkualiti tinggi, saya ada harapan tinggi terhadap Enco Free ini. Dalam percubaan ringkas saya, Oppo telah membuktikan yang mereka masih hebat dalam arena audio. Ini kerana, kualiti audionya langsung tidak mengecewakan. Ia mempunyai kualiti audio yang baik, jelas dan enak didengar.

Ia mempunyai bass yang baik, vokal dari penyanyi wanita atau lelaki kedua-duanya dalam telinga saya memang mengasyikkan. Walau bagaimanapun, ada beberapa lagu apabila berada di aras suara 100% adalah sedikit bingit di telinga. Tetapi itu tidak menjadi masalah untuk saya, kerana saya adalah pengguna yang gemar mendengar muzik dengan aras suara 50%-70% sahaja. Jika saya bandingkan dengan Apple AirPods generasi kedua, berani saya katakan yang Oppo Enco Free adalah jauh lebih baik.

Pembatalan Hingar AI? Apakah?

Oppo Enco Free menggunakan sistem kecerdasan buatan untuk pembatalan hingar ketika membuat/menjawab panggilan telefon. Adakah ianya baik? Percubaan ringkas tadi, individu yang membuat panggilan ke saya mengatakan suara adalah seakan berada dalam air. Ini bermakna ia tidak begitu baik. Akan tetapi, saya boleh mendengar suara beliau dengan jelas dan baik sahaja. Jika pada peranti Oppo, Oppo mungkin boleh mengedarkan sahaja kemaskini – tetapi jika menggunakan pada iOS atau Android lain? Ini adalah tidak begitu baik.

Fungsi Menarik

Percaya atau tidak yang Enco Free ini turut menyokong tambatan pantas seperti AirPods dengan cip W1/H1 mereka. Tetapi, ia hanya berfungsi dengan peranti Oppo terpilih sahaja untuk antaramuka khas seperti pada iOS terpapar. Jika pada peranti Android lain, pengguna perlu tambat seperti biasa terlebih dahulu dan kemudian baru tambatan pantas akan berfungsi.

Kawalan gestur sentuhan pada TWS ini berfungsi dengan baik. Fon telinga sebelah kiri boleh menjeda/memainkan muzik, tatal ke atas atau bawah untuk kawal aras suara. Fon telinga sebelah kanan juga boleh menjeda/memainkan muzik, tetapi tidak boleh melaras aras suara dan hanya boleh melangkau muzik, ulang muzik atau kembali ke muzik sebelumnya dengan tatalan ke bawah, tatalan ke atas dan dua kali tatal ke atas. Dalam percubaan saya semuanya lancar, kecuali menjeda muzik atau memainkan semula.

Oppo Enco Free juga mempunyai sensor cahaya, seperti Apple AirPods. Ia boleh mengesan jika fon telinga dikeluarkan dari telinga dan muzik secara automatik akan dijeda. Sebaik sahaja fon telinga dimasukkan kembali dalam telinga, muzik akan sambung bermain seperti biasa secara automatik.

Perkara Mengecewakan

Oppo Enco Free tidak mempunyai sokongan pengecasan nirwayar. Pada saya ini adalah satu fungsi yang sepatutnya diletakkan, kerana adalah sangat memudahkan pengguna. Kemudian, silikon pada fon telinga adalah sedikit kurang selesa dan tidak mempunyai cengkaman sehebat fon jenis dalam telinga.

Konklusi

Oppo Enco Free adalah TWS yang baik. Ia tidak teruk seperti yang Vivo hasilkan beberapa bulan lalu. Kualiti audio memuaskan, bahan binaan juga baik dan hebat dan memberikan pengalaman penggunaan yang mengasyikkan.

Sayang sekali, anda tidak boleh lagi memiliki Oppo Enco Free ini. Ia hanya akan dilancarkan di China pada 26 Disember. Berkemungkinan besar ia akan memasuki pasaran Malaysia pada Januari atau mungkin Februari pada tahun 2020. Harga anggaran jika kita lihat trend Huawei FreeBuds 3, Vivo TWS atau jenama-jenama lain – harga mungkin sekitar RM599 sehingga RM699.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd