Realme X2 Pro adalah pembunuh peranti mercu pada hujung tahun 2019. Ia adalah pengganti kepada Pocophone F1, yang mana jenama Poco ini sudah tidak lagi kedengaran atau tular seperti dahulu. Realme X2 Pro dijual di Malaysia pada harga RM2,399 untuk variasi 12/256 GB. Tetapi terhad kepada warna putih, biru dan hitam sahaja.
Jika anda ingat, Realme Malaysia turut mengumumkan yang variasi Master Edition turut akan diperkenalkan. Ia adalah edisi khas dan edisi terhad. Panel belakangnya disalut dengan bahan binaan yang mempunyai kemasan seakan batu bata merah. Ia mempunyai permukaan kesat dan warna merah matte. Rekaan ini dihasilkan oleh pereka terkenal Naoto Fukasawa.
Bagi mereka yang berminat dengan Realme X2 Pro Master Edition, Realme Malaysia akan menjualnya dengan harga yang sama dengan variasi biasa – iaitu RM2,399. Kemudian, edisi terhad Realme X2 Pro ini hanya terdapat 50 unit sahaja di Malaysia. Jualan akan bermula pada 21 dan 22 Disember di Comic Fiesta 2019, KLCC.