Ulasan: Google Pixel 4 – Mengecewakan?

Ulasan: Google Pixel 4 – Mengecewakan?

Diterbitkan pada Dis 23, 2019 oleh .

Tahun ini pada acara Made by Google 2019, Pixel 4 dan Pixel 4 XL telah dilancarkan. Ia adalah peranti mercu generasi keempat yang Google hasilkan sendiri sejak 2016 lagi. Seperti yang dijangkakan, Google jelas kelihatan cuba mengikut jejak langkah Apple pada suatu ketika dahulu – kedekut spesifikasi. Sudah generasi keempat, Google masih belum belajar lagi kesilapan mereka dari Pixel-Pixel yang lama.

Kenapa? Ini kerana, ramai pengulas di luar sana serta ramai individu yang saya kenali minat akan peranti Pixel – berasa kecewa dengan Pixel 4. Pixel 4 tidak dinafikan masih mengekalkan kehebatan dalam arena fotogrtafi, pengalaman penggunaan sistem operasi Android yang terbaik serta adalah peranti yang paling pintar setakat ini. Namun, perasaan kecewa ini hadir pada perkakasan peranti ini yang dilihat tidak sempurna dan tidak lengkap. Saya sudah menggunakan Pixel 4 lebih dari sebulan sebagai peranti harian saya dan ini adalah artikel ulasan penuh yang mendalam.


Spesifikasi

Google Pixel 4, Oh So Orange
Skrin 5.7″ FHD+ 444 ppi, 19:9, OLED Fleksibel, HDR
90Hz Smooth Display, Ambient EQ, Gorilla Glass 5
Pemproses Qualcomm Snapdragon 855
Cip 1 x 2.84 GHz Kryo 485
3 x 2.42 GHz Kryo 485
4 x 1.78 GHz Kryo 485
Pixel Visual Core
Pixel Neural Core
Titan M
Cip Grafik Adreno 640
RAM 6 Gigabyte
Muatan Dalaman 64/128 GB, UFS 2.1
Kamera Utama 16MP f/2.4 + 12.2MP f/1.7 (telefoto 2x), Video 4K 30 FPS
OIS, EIS, Sensor Kelipan + Spektrum, Auto Fokus
Kamera Depan 8MP f/2.0 + NIR Pemancar Banjir + NIR Pemancar Titik + 2 Kamera NIR
Bateri 2800 mAh, 18W, USB Power Delivery, 10W Pengecasan Nirwayar Qi
SIM/Telefoni Dwi SIM, nano+eSIM
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Sekuriti  Imbasan Wajah 100%
Harga Jualan Bermula Dari, ~RM3799 (set USA), ~RM3499 (set SG)

Mengikut trend semasa, Google Pixel 4 juga menggunakan skrin dengan kadar segar semula 90Hz. Google memberi nama kepada teknologi ini sebagai Smooth Display. Panel skrin yang digunakan adalah bersaiz 5.7-inci dengan resolusi FHD+ pada nisbah 19:9 Fleksibel OLED. Seperti peranti Pixel 3 sebelum ini, Pixel 4 juga menyokong skrin HDR.  Menjadikan skrin ini lebih menarik adalah, Google memperkenalkan pula teknologi baharu Ambient EQ. Ia adalah jawapan Google kepada Apple True Tone.

Masalah pada skrin ini adalah Smooth Display. Google mengehadkan peranti Pixel 4, 90Hz hanya berfungsi jika kecerahan skrin berada di tahap 46% dan ke atas sahaja. Jika berada di 45% dan ke bawah, kadar segar semula skrin akan kembali berubah menjadi 60Hz. Kecuali jika pengguna memaksanya di tetapan pilihan pembangun. Peliknya di sini adalah, panel OLED yang digunakan Google adalah dari Samsung yang mana mungkin sama degan panel OLED Samsung yang ada pada OnePlus 7T. Tetapi peranti OnePlus boleh kekal 90Hz tidak kira apa jua tahap kecerahan. Alasan Google di sini adalah pengehadan terhadap perkakasan yang digunakan. Pada saya, Google tidak ingin mengaku salah yang mereka meletakkan bateri yang kecil pada Pixel 4 dengan pelbagai kuasa pemprosesan, jadi jika sentiada 90Hz – jangka hayat bateri akan menjadi teruk.

Berhenti di situ, skrin OLED Pixel 4 ini tidak dinafikan adalah amat baik. Warna yang cukup terang, kadar HDR yang memuaskan dan mempunyai kecerahan yang baik-baik sahaja. Apabila menonton Netflix atau YouTube dengan kandungan yang menyokong HDR, warna kelihatan hidup, setiap butiran boleh dilihat dengan lebih terperinci dan memberi pengalaman menonton yang hampir memuaskan. Ya, hampir. Ini kerana dahi yang terlampau tebal ada pada skrin Pixel 4. Bagus! Google tidak lagi menggunakan takuk hodoh dari Pixel 3 XL. Tetapi rekaan dahi tebal ini adalah dari peranti bertahun-tahun dahulu. Langsung tidak moden dan kelihatan janggal jika dibandingkan dengan peranti-peranti sekarang. Walau bagaimanapun, selepas beberapa minggu – saya sudah rasa biasa. Ia seolah takuk yang “baru”. Ya, rekaan pelik dan tidak cantik. Begitu juga dengan takuk iPhone X, skrin LCD HD+ iPhone 11 atau peranti dengan skrin berlubang. Pengguna perlu menghabiskan masa sedikit bersama peranti, sebelum terus kekal menggemarinya. Pada saya, jika diberi pilihan, saya akan pilih skrin OnePlus 7T Pro. Tetapi percaya atau tidak yang skrin Pixel 4 ini pun Okay!

Peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 855 dan dipadankan dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman 64GB atau 128GB. Model yang saya gunakan adalah 64GB. Paling kecewa di sini adalah storan. Storan 64GB adalah tidak masuk akan untuk tahun 2019 dan kekecewaan tidak berhenti di situ – storan peranti ini adalah berasaskan UFS 2.1 dan bukannya 3.0. Ya Rabbi, Google. Apa yang anda telah lakukan ini? Saya sendiri tidak faham dengan Google sekarang. Ya, mereka adalah syarikat yang fokus kepada perisian bukannya perkakasan. Tetapi untuk perisian berjalan dengan lebih hebat, haruslah ada perkakasan yang hebat.

Sepatutnya Google perlu naikkan minima storan pilihan adalah 128GB dan menggunakan format UFS 3.0. Sudahlah tawaran storan tanpa had saiz asli Google Photos tidak lagi diberikan. Pixel 4 mempunyai kualiti kamera yang agak baik dan pasti mempunyai saiz yang besar. 64GB untuk tahun 2019? Pilihan dungu Google.

Kita beralih ke spesifikasi kamera. Seperti Apple beberapa tahun lalu, Google juga berdegil mengikut syarikat pesaing lain. Oleh yang demikian, kamera pada Pixel 4 hanya terdapat dua lensa sahaja. Sedangkan sekarang adalah trend kuad-kamera atau penta-kamera. Google dengan selamba menggunakan dwi-lensa. Apple pula sudah beralih mengikut trend, menggunakan tri-kamera. Lensa yang digunakan adalah 16MP dan 12.2MP untuk kamera belakang. Ia adalah lensa lebar biasa dan lensa telefoto. Tiada lensa sudut ultra lebar yang ramai inginkan, kerana Google menyatakan lensa telefoto adalah lebih penting. Allahu, Google, Google. Saya yang sedang menulis artikel ulasan ini pun terus rasa kecewa. Tetapi, sebagai peminat saya harus cari lagi perkara positif.

Kamera swafoto adalah 8MP dan hanya ada satu lensa sahaja untuk berswafoto. Dahi tebal dihadapan memuatkan lensa-lensa infra merah jarak dekat (NIR) jenis pemancar banjir, jenis projektor titik dan kamera. Tiada lagi dwi-lensa seperti Pixel 3. Tetapi ia mempunyai pandangan sudut lebar yang memuaskan. Sensor-sensor lain itu akan saya ceritakan dalam perenggan lain. Bateri pada peranti ini hanya 2800mAh dengan sokongan pengecasan pantas USB Power Delivery 18W dan pengecasan nirwayar 10W.

Melengkapkan spesifikasi peranti yang setakat ini mempunyai spesifikasi yang hambar adalah Bluetooth 5.0, NFC, sensor picitan Active Edge, Motion Sense (cip radar Soli), enjin haptik yang mempunyai mimik bertekstur dan tajam serta perlindungan kalis air IP68.

Rekaan

Pixel 1, Pixel 2, Pixel 3 dan Pixel 3a ada elemen rekaan yang sedikit sama. Seperti tona warna atau bahan binaan berbeza untuk panel belakang. Tetapi Pixel 4, Google menggunakan rekaan yang lain daripada yang lain sambil mengekalkan ideniti peranti Pixel itu sendiri. Dari segi bentuk, ia memang jelas adalah sebuah peranti Pixel. Tetapi perubahan paling menarik adalah panel belakang yang rata. Bukan itu sahaja, panel belakang juga sudah tiada lagi bermain dengan dwi-tona warna, kemasan berbeza atau bahan binaan berbeza. Sebaliknya hanya satu warna dan satu bahan sahaja. Pixel 4 yang saya gunakan ini adalah berwarna Oh So Orange, atau Oh Jingganya, Oh Jinggalah Sangat. Ia menggunakan kemasan matte yang lembut, tidak begitu licin dan selesa di tangan. Ia adalah kemasan yang sama pada warna Jelas Sekali Putih.

Tetapi, pada warna Hitam Sahaja – kemasan yang digunakan adalah jenis berkilat dan menangkap banyak kotoran cap jari seperti iPhone 7 Jet Black. Kemudian pada kesemua peranti Pixel 4 dan 4 XL, Google menggunakan rangka aluminium dengan cat hibrid matte yang memberi cengkaman yang baik dan terasa unik. Pada saya ia terasa premium. Tetapi sesetengan pengguna akan rasa seakan peranti murah dan diperbuat dari plastik. Di panel belakang peranti ini adalah sangat minimal. Hanya ada bonjol kamera segi empat yang tidak begitu tebal dan logo G. Peranti ini adalah peranti yang kompak. Saiznya amat kecil dan sungguh selesa apabila berada di tangan. Saya gemar menggunakan Pixel 4 ini tanpa sebarang kerangka pelindung. Saya tidak tahu kenapa, saya gemar dengan rekaan peranti ini. Sungguh elegan dan minimalis.

Sisi kanan peranti adalah di mana lokasi butang kuasa berwarna jingga cair atau mungkin merah jambu? dan juga butang aras kuasa yang sama kemasannya dengan rangka peranti. Sisi kanan adalah slot kad SIM, kemudian beralih ke bahagian atas adalah mikrofon dan akhir sekali adalah bahagian bawah. Di bawah hanya ada port USB-C dan kekisi pembesar suara.

Menggunakan peranti ini mengingatkan saya semasa zaman menggunakan iPhone 7 dan iPhone 8. Peranti ini adalah peranti yang ringan dan nipis. Apabila disimpan dalam kocek seluar, jujur saya katakan hampir terasa tiada peranti yang disimpan. Banyak kali juga saya menggunakan peranti ini sebelum tidur. Saya akan gunakan juga tanpa kerangka, kerana rangkanya sudah selesa digunakan – jadi ia tidak mudah untuk terjatuh ke muka saya. Sambil baring, sambil pegang juga tidak menjadi masalah.

Fungsi Menarik & Pintar

Pixel 4 kali ini menawarkan banyak fungsi pintar yang memang A+. Sehingga hari ini saya masih menggunakan Pixel 4 sebagai peranti kedua saya kerana fungsi-fungsi menarik ini.

Ambient EQ

Ambient EQ adalah jawapan Google kepada True Tone oleh Apple. Ia boleh mengubah paparan peranti mengikut keadaan cahaya di sekeliling. Ia bukan Night Light, atau Adaptive Display – tetapi lebih kepada melaras keseimbangan warna putih pada peranti. Jadi mengikut keadaan cahaya di luar, paparan peranti akan sentiasa sesuai dan selesa untuk dilihat oleh pengguna.

Always-On Display

Ia bukannya fungsi yang baru. Malah, Nokia sudah lama menggunakannya sejak zaman peranti Lumia lagi. Ia adalah mod paparan yang hanya memaparkan masa, tarikh, notifikasi dan beberapa informasi lain pada kunci skrin. Lebih menarik digunakan adalah pada peranti OLED. Ini kerana warna hitamnya adalah hitam sebenar dan hanya informasi yang dipaparkan sahaja akan menghidupkan OLED pada panel peranti.

Pada Pixel 4, jika menggunakan Pixel Stand atau mana-mana pengecas nirwayar yang menyokong Pixel 3/Pixel 4 – ia akan berubah menjadi Google Assistant Ambient Mode. Iaitu mod Google Assistant yang berfungsi secara hampir sepenuhnya ketika peranti sedang dicas. Untuk mudah faham lagi, ia akan mengubah peranti menjadi paparan pintar seperti Google Nest Hub dengan memaparkan lebih banyak informasi, mengawal muzik atau juga memaparkan Google Photos.

Now Playing

Ia adalah mod sentiasa mendengar muzik di sekeliling pengguna. Dengan fungsi ini, ia akan memaparkan muzik apa dan pengguna boleh terus buka dan dengar melalui YouTube Music, YouTube atau terus tambah dalam senarai main YouTube Music. Lebih menarik, dalam kemaskini terkini semua muzik yang didengari oleh fungsi ini – ia akan paparkan dalam satu senarai sejarah.

Jika itu anda rasa kurang menarik, Now Playing juga boleh berfungsi tanpa sambungan Internet. Fungsi ini juga membantu saya apabila berada di luar, seperti di sebuah restoran dan saya minat akan muzik yang sedang dimainkan – tetapi tidak tahun siapa penyanyi atau judul lagu.

Active Edge

Ini adalah fungsi yang meniru dari HTC. HTC telah memperkenalkan fungsi ini dalam peranti konsep, sebelum merealisasikan kepada HTC U11. Untuk peranti Pixel, ia mula diperkenalkan pada Pixel 2 dan diteruskan sehingga sekarang. Fungsi ini amat membantu pengguna seperti saya yang kerap menggunakan Google Assistant, tetapi tidak ingin mengganggu orang lain di sekeliling dengan kerap menyebut “Hey, Google”. Ia juga ada tindak balas haptik bagi memberi pengalaman penggunaan yang lebih memuaskan.

Google sebenarnya pening. Mereka hasilkan Active Edge ini untuk situasi seperti yang saya terangkan. Tetapi dalam Pixel 4 dan Android 10, sudah ada kawalan gestur yang mudah untuk mengakses Google Assistant. Iaitu tatal dari sudut bawah skrin ke atas dan Google Assistant akan terus sedia mendengari arahan pengguna. Haishh… Google, Google.

Enjin Haptik

Google menyatakan yang enjin haptik yang digunakan adalah tajam dan bertekstur. Saya kurang jelas di situ, tetapi sepanjang penggunaan peranti ini ia adalah peranti Android yang mempunyai tindak balas haptik yang paling menarik. Ia terasa nyata dan hidup dan sungguh memuaskan. Google ibarat berjaya meniru enjin haptik dari Apple.

Motion Sense

Ia adalah fungsi yang paling tidak masuk akal, atau dalam bahasa Inggeris make no sense – faham atau tidak gurauan yang cuba saya sampaikan? Hahaha. Baiklah, fungsi ini adalah seperti yang dilihat pada peranti LG G8 ThinQ. Iaitu menjadi Jedi dalam dunia realiti. LG menggunakan sensor kamera dan juga ToF, tetapi Pixel 4 menggunakan sensor radar yang digelar Soli. Fungsi ini dikatakan bpleh menjejak pergerakan dengan jitu, oleh yang demikian – sepatutnya kawalan gestur atas udara adalah lebih baik.

Ya, ia baik dalam pengalaman penggunaan saya. Tetapi tidak selalu berfungsi. Google masih perlu belajar lagi. Mungkin data yang Google kumpul dari Pixel 4 (walaupun mereka kata tidak mengumpul data, LOL) akan perbaiki pada Pixel 5 akan datang? Oh ya, dengan Motion Sense juga pengguna boleh berinteraksi dengan beberapa permua dan juga gambar latar belakang hidup Pokemon.

Dalam Motion Sense ini juga, Google mengimplementasikan imbasan wajah Face Unlock mereka. Ia adalah jawapan Google kepada Apple Face ID. Menyahkunci peranti dengan Face Unlock adalah sangat pantas dan lancar. Cuma agak pelik, Face Unlock menggunakan Motion Sense untuk berfungsi – tetapi kawalan gestur tidak boleh digunakan.

Live Caption & Perakam Suara

Kedua-dua fungsi mempunyai konsep yang sama. Iaitu boleh “mendengar” suara dan boleh membuat transkripsi dalam bentuk teks. Untuk Live Caption, tidak kira apa video yang dimainkan pada Pixel 4 – sama ada panggilan video, rakaman swafoto, YouTube atau video yang disimpan dalam VLC. Jika video itu berbahasa Inggeris, Live Caption akan menjana sari kata yang tepat, lagi jitu untuk pengguna. Seperti Now Playing, ia juga berfungsi tanpa Internet.

Kemudian pada perakam suara dalam Pixel 4, ini adalah ciptaan genius. Sama juga dengan Live Caption, hanya menyokong bahasa Inggeris sahaja buat masa ini. Tetapi, apabila selesai membuat rakaman suara. Pengguna boleh membuat carian dengan masukkan kata kunci sahaja pada bar carian. Kemudian, hasil carian akan memaparkan bahagian kata kunci yang dicari pengguna. Contohnya, jika saya merakam suara “My name is Fahim and I’m using Google Pixel 4 as my daily driver..” dan saya ingin mencari bilakah saya sebut “Fahim” dan “Pixel 4”, ia boleh paparkan dengan tepat saat atau minit keberapa saya sebut. Kemudian, semua rakaman suara turut akan ada fail teks yang sudah Google membuat transkripsi.

Social Share, Astrofotografi & Frequent Face

Ini adalah fungsi pintar yang diperkenalkan Google dalam Pixel 4. Saya akan ceritakan kepintarannya sahaja di sini, kualiti gambar anda boleh baca di bahagian kamera di perenggan lain. Social Share adalah perkongsian pantas yang boleh dilakukan pengguna sejurus selepas mengambil gambar. Akan ada tiga pilihan platform media sosial yang boleh dipilih.

Astrofotografi pula adalah mod malam baharu yang terbina dalam Night Sight. Ia boleh mengambil gambar bintang-bintang di langit, tetapi sayangnya tidak boleh menangkap bintang cinta hatiku.. Sebenarnya, fungsi ini adalah mod long exposure sahaja. Mengikut keadaan cahaya disekeliling, mod ini akan menetapkan sendiri masa pengatup yang sesuai. Kadangkala dari 30 saat, ada situasi mencapai dari 1 minit sehingga lebih 2 minit.

Frequent Face pula adalah fungsi yang akan fokus kepada satu individu sahaja ketika mengambil gambar. Jadi ketika mengambil gambar Motion Photos, Top Shot – gambar yang paling kerap individu itu berada dalam fokus akan mempunyai hasil gambar yang lebih menarik.

Google Assistant 2.0?

Hanya Google Assistant yang lebih lancar dan dengan antaramuka baharu sahaja. Oh ya, juga pada Pixel 4 sudah ada sokongan Google Assistant yang boleh mendengar arahan secara berterusan, tanpa pengguna perlu berulang kali sebut “Hey, Google”.

Android 10 Asli Yang Bukan Untuk Semua Orang

Seperti judul perenggan ini, ya benar Android asli pada Pixel adalah bukan untuk semua orang. Saya katakan begini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri. Ramai kenalan saya dan ramai juga pakar-pakar gajet yang pernah bersembang dengan saya mengatakan Android pada peranti Pixel adalah bosan. Oleh yang demikian membuatkan Oxygen OS pada peranti OnePlus adalah Android asli yang digemari ramai.

Banyak fungsi khusus Pixel 4 dalam Android 10 sudah saya cerita di atas, jadi dalam perenggan ini akan saya ceritakan lebih pada pengalaman penggunaan. Bermula dengan antaramuka. Android 10 mempunyai antaramuka Android asli yang pada saya amat selesa. Tidak kira mod cerah atau mod tema gelap, sedap mata memandang. Ya benar, ia akan nampak kosong sahaja dan jujur katakan – saya sendiri sebagai peminat Pixel mengaku memang nampak kosong dan bosan. Tetapi itu adalah rekaan minimalis yang Google tawarkan. Pengguna Pixel sebenar sahaja akan tahu yang Pixel 4 tidak bosan, kerana tahu disebalik kekosongan Android asli seperti jiwa yang kosong pada diri saya ini – ada rahsia yang menjadikan peranti ini hebat.

Dengan “kekosongan” pada Pixel 4 inilah menjadikan peranti lancar dan pantas. Kemudian, ini juga sebab kenapa RAM pada Pixel 4 adalah 6GB dan tidak mencapai 8GB atau 12GB seperti pesaing. Pixel tidak banyak ada aplikasi berjalan dilatar atau tema yang berat yang memerlukan kuasa yang banyak. Di dalam tetapan sistem peranti, akan ada banyak pilihan tetapan yang menarik yang memberi pengguna pelbagai pilihan kustomasi. Ia juga mudah digunakan dan mudah faham. Walaupun anda bukan pengguna Pixel sebelum ini, percaya atau tidak satu atau dua hari sudah cukup untuk anda selami dunia Pixel dan menikmatik keindahan peranti ini.

Euww, Dwi-Kamera Sahaja!!!

Gabungan lensa 16MP + 12.2MP sebagai kamera utama adalah pilihan bijak dari Google. Ya, saya tidak akan lupa dan kekal kecewa kerana tiada sokongan lensa sudut ultra lebar. Tetapi mod telefoto yang Google tawarkan ini adalah lain daripada yang lain dan menarik digunakan. Kemudian, anda perlu ingat kenapa Google kekal mengunakan 16MP dan 12.2MP – saiz Megapixel bukan penentu kualiti kamera yang hebat. Ia bergantung kepada perisian, jenis sensor dan juga kepakaran mengambil gambar.

Begitu juga dengan lensa kamera swafoto yang Google turum taraf kepada satu lensa dan kekal dengan 8MP. Ada keburukannya dan ada kebaikannya. Bermula dengan kamera belakang, Google masih kekal dengan kehabatan mengambil gambar potret yang sangat menyerlah dan nilai HDR yang menarik. Kemudian mod telefoto pula adalah lebih baik jika dizum dan bukan dicrop oleh pengguna. Untuk swafoto, Google menggunakan lensa dengan sudut pandangan yang sedikit lebar bagi memudahkan pengguna.

Kualiti Kamera Terhebat?

Ini adalah bahagian di mana anda boleh lihat sampel-sampel gambar yang saya ambil dengan Pixel 4. Saya akan mulakan dengan swafoto, mod biasa dan mod potret. Anda boleh sampel di bawah ini, ia mempunyai bokeh yang hampir realisti dan amat kemas. Warnanya juga cukup cerah, hidup dan memuaskan. Setiap butiran juga boleh dilihat dengan cukup terperinci.

Kita beralih kepada kamera belakang, dengan beberapa gambar biasa, zum 2x dan zum digital 8x kali yang ada pada peranti ini. Hasilnya memang wow. Untuk peranti yang tidak menggunakan lensa telefoto yang tinggi tahap zumnya atau lensa jenis periskop, ini adalah hasil yang layak mendapat pujian. Jadi, di sini saya maafkan Google kerana berasa kecewa di awal perenggan. Kehebatan kamera Pixel 4 ini membuatkan saya kembali jatuh cinta dengan peranti ini.

Gambar bokeh menggunakan kamera utama memang WOW! Begitu juga dengan gambar yang biasa. Anda boleh lihat di sini hasil-hasilnya memang meriah dari segi warna, nilai HDR – sudah saya nak cari cacat-cela. Jika anda sudah menggunakan Pixel 4 ini atau peranti Pixel lain, anda akan faham kenapa pengguna Pixel sukar untuk move on dan beralih kepada peranti lain.

Ok, untuk Night Sight. Ya, ia memang puas hati dan cantik. Tetapi, saya kecewa kerana saya tidak dapat mengambil gambar astrofotografi yang cantik dan memuaskan. Lokasi yang saya tinggal adalah lokasi yang tiada banyak bintang dan ini adalah hasil yang paling baik dapat saya ambil. Namun begitu, hasil-hasil lain adalah baik-baik sahaja. Ada situasi hingar jelas kelihatan, tetapi ia tidaj teruk.

Untuk gambar Top Shot, ini adalah contoh apa itu Top Shot. Sebenarnya ia adalah burst mode sahaja. Cuma dengan kepintaran Google, ia boleh memilih hasil yang paling cantik, kemas dan stabil. Apa kata anda? Bolehkah anda maafkan Google untuk tidak meletakkan lensa sudut ultra-lebar, tetapi anda akan dapat hasil gambar yang puas. Lihat sampel-sampel lain di bawah ini, dan nyatakan pendapat anda di ruangan komen.

This slideshow requires JavaScript.

Pendapat Saya Mengenai Lensa Sudut Ultra Lebar

Okay, di sinilah di mana kamera Pixel 4 ramai tidak gemar. Ramai rasa kecewa kerana Google menajdi kedekut seperti Apple. Tetapi, berbalik kepada penggunaan anda. Pixel 4 bukan untuk semua pengguna dan hanya pengguna tertentu sahaja akan memilih peranti ini. Pixel 4 adalah untuk mereka yang gemar akan pengalaman penggunaan Android asli yang baik dan merasai bagaimana menggunakan peranti pintar sebenar. Ia benar-benar pintar dari segi perisian dan itulah yang Google fokus.

Seperti saya, ya saya suka akan kamera dengan lensa sudut ultra lebar. Tetapi, jika tiada saya boleh sahaja hidup atau gunakan sahaja peranti itu. Kes pada Pixel 4, jujur saya katakan dengan kualiti gambar yang dapat Pixel hasilkan terus membuatkan saya lupa akan lensa sudut ultra lebar. Ia sudah cukup baik. Saya selesa menggunakannya.

Audio

Sejak Pixel 2016 lagi Google telah menggunakan pembesar suara stereo. Namun hanya pada Pixel 2 dan Pixel 3 sahaja Google menggunakan pembesar suara stereo yang menghadap ke hadapan. Sejak Pixel 3a lagi Google telah mengembalikan konsep pembesar suara earpiece + pemacu audio di bawah peranti, seperti mana Pixel yang asal.

Jadi, kualiti pembesar suaranya adalah tidak sehebat Pixel 2 atau 3. Tetapi, audio yang dihasilkan masih lagi memuaskan. Ia mempunyai dentuman bass yang cukup dalam, vokal yang cukup terang dan masih memberikan pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Tetapi, jika saya bandingkan dengan iPhone XS saya – saya lebih gemar akan pembesar suara iPhone. Jika dibandingkan dengan OnePlus 7T atau 7T Pro, saya akan pilih Pixel kerana kualiti yang dihasilkan pada saya adalah lebih baik.

Pixel 4 seperti Pixel 2 dan Pixel 3, tiada lagi port bicu audio. Pixel 2 dan Pixel 3 saya boleh terima kerana Google sertakan penyesuai bicu audio. Tetapi pada Pixel 4, penyesuai perlu dibeli secara berasingan. Lebih sakit hati, hanya penyesuai dengan pengiktirafan Made for Google sahaja yang boleh digunakan dan harganya adalah mahal. Ada sahaja aksesori pihak ketiga, namun perlu cari yang ada DAC dan menggunakan sambungan USB-C beriktiraf.

Prestasi Permua & Tugasan Harian

Sejak Pixel 3 lagi, saya tidak bermain permua pada peranti Pixel. Kerana peranti ini bukan dihasilkan untuk gaming. Sebaliknya adalah untuk kegunaan gaya hidup, kerja dan santai. Ia adalah peranti premium yang dicipta untuk digunakan secara bersahaja. Prestasi tugasan harian adalah amat lancar dan memuaskan.

Tatalan dari setiap bahagian pantas, 90Hz memang terasa bezanya dan penggunaan multi-tugasan seperti membuka dua aplikasi serentak adalah cukup laju. Saya banyak menggunakan peranti ini sebagai peranti media dan membaca. Tetapi, tidak bermakna peranti ini tidak mampu bermain permu. Cuma pada pendapat saya, ia tidak sesuai. Pertama, rekaan yang licin membuatkan peranti ini tidak selesa dipegang jika bermain permua.

Skor tanda aras adalah baik-baik sahaja. Tetapi dalam senarai AnTuTu, Pixel 4 ini berada di tempat ke-17. Ditewaskan oleh peranti seperti Black Shark 2, Mi 9, Mi 9T Pro, Realme X2 Pro, OnePlus 7T dan banyak lagi. Skor Geekebnch 5 juga adalah biasa-biasa sahaja. Tetapi, saya masih pegang dengan pendirian saya. Skor tanda aras adalah nombor semata-mata dan penggunaan di dunia realiti adalah prestasi sebenar yang pengguna perlu rasai sendiri.

Jangka Hayat Bateri

Bateri juga adalah antara kelemahan peranti ini. Tetapi, dengan penggunaan saya yang menjadikan Pixel 4 sebagai peranti kedua saya sebenarnya baterinya adalah mencukupi sahaja. Tetapi jika dijadikan sebagai peranti harian utama mungkin tidak. Bateri sudahlah 2800mAh sahaja, skrin 90Hz, AMOLED, banyak penggunaan kuasa untuk pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan – terlampau banyak penggunaan kuasa untuk bateri yang kecil.

2800mAh untuk penggunaan yang sebanyak ini adalah tidak sesuai. Sudahlah saya menggunakan kesemua fungsi Pixel 4 yang terbina, termasuk Motion Sense. Bateri yang saya peroleh adalah sekitar 2-3 jam SOT jika menggunakan secara ekstrem. Namun jika penggunaan saya adalah ringan, tidak ada masalah pun untuk capai 5 jam SOT dengan skrin 90Hz. Kemudian pengecasan USB-PD 18W adalah cukup pantas untuk saya. Istilah orang sekarang adalah “Laju-laju nak pergi mana?”.

Kesimpulan

Google Pixel 4 tidak dinafikan adalah peranti yang hebat. Ia mempunyai prestasi kamera yang baik dan memuaskan. Jika. Ya ada jika, tidak hiraukan lensa sudut ultra lebar. Kualiti kameranya sehingga hari ini masih sukar untuk saya lupakan sejak Pixel 2 lagi. Tiada Pixel, tiada GCam. Warna yang hidup, nilai keHDRannya yang terang, cantik dan puas mata memandang. Tidak lupa juga dengan Pixel 4, kualiti audio ketika merakam video adalah jauh lebih baik dan mengejutkan.

Beralih ke prestasi, ya skor tanda aras tidak mampu bersaing dengan peranti lain. Tetapi pembenci tetap akan benci. Kerana jika anda tidak menggunakan peranti ini, anda tidak akan faham kenapa saya amat menghargai peranti ini. Pengalaman penggunaan Android asli adalah amat puas dan tidak ada peranti lain yang boleh hasilkan Android sebaik ini.

Ya saya faham, bateri dikategorikan sebagai sampah, prestasi tidak puas, dan kamera hanya dua lensa. Tetapi saya masih gemar dengan peranti ini. Saya sudah menggunakan peranti Android sejak tahun 2013, tiada peranti lain yang sepintar Pixel ini. Malahan, semasa saya menggunakan Nexus 5X pengalaman penggunaan Android aslinya juga adalah berbeza.

Harga Pixel 4 ini dijual di Malaysia mengikut set. Set Amerika Syarikat untuk Pixel 4 64GB boleh mencapai lebih RM3.7K. Namun, jika anda membeli set Singapura tiada masalah untuk dapatkannya bawah RM3.5K. Pada harga ini apabila saya memberi cadangan kepada pengguna yang ingin membeli peranti baharu, ramai katakan iPhone 11 adalah lebih baik. Ya, tidak dinafikan iPhone 11 adalah baik. Tetapi, skrin Pixel ini adalah jauh lebih baik dan kamera mod potret Pixel 4 berkali ganda lebih meriah.

Jadi, menutup artikel ulasan saya ini adalah – Pixel 4 adalah peranti yang baik. Tetapi ia boleh menjadi lebih baik sekurang-kurangnya pada bahagian bateri.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Pengalaman peranti Android yang paling baik
  • Fungsi pintar yang unik dan berada di luar jangkaan
  • Skrin AMOLED yang terbaik dengan kadar segar semula 90Hz yang mengiurkan
  • Kemampuan fotografi yang berada di luar jangkaan, walaupun dua-lensa
  • Sistem imbasan wajah yang pantas
  • Prestasi permua yang tidak memuaskan
  • Jangka hayat bateri yang lemah
  • Tidak dijual secara rasmi di Malaysia


TIPS & ULASAN