Spotify adalah perkhidmatan penstriman muzik yang paling popular. Kini di Malaysia, Google secara rasmi telah memperkenalkan YouTube Music iaitu perkhidmatan penstriman muzik tersendiri dari Google. Ia adalah berbeza dengan Google Play Music, kerana YouTube Music turut hadir dengan video muzik yang selari dengan muzik yang dimainkan. Ini bermakna, jika pengguna sedang mendengar muzik, tatal sahaja ke kanan video muzik rasmi akan terus dipaparkan.
Untuk menarik lagi perhatian ramai orang, Google baru-baru ini telah memperkenalkan pula senarai main yang dijana secara automatik pada YouTube Muzik. Senarai main seperti ini sudah lama hadir pada Spotify, adakah ini strategi YouTube Music untuk “merampas” pengguna Spotify agar beralih ke platform mereka? Terdapat tiga senarai main yang hadir iaitu, Discover Mix, New Release Mix, dan Your Mix.
Disover Mix adalah senarai main yang menjana 50 muzik secara mingguan yang jarang didengari pengguna atau langsung tidak pernah didengari. Ia juga akan menyediakan muzik-muzik dari penyanyi yang tidak dikenali, kurang popular bagi menambah minat pengguna.
New Release Mix pula adalah seperti namanya sendiri. Ia akan dijana setiap hari Jumaat dan mengumpulkan pelbagai kandungan baharu dari penyanyi yang digemari pengguna atau yang Google sangkakan akan menarik minat pengguna.
Akhir sekali Your Mix adalah senarai main gabungan antara kedua-dua senarai main di atas. Ia akan lebih kerap berubah bagi mengelakkan pengguna bosan dengan sesuatu muzik.
Senarai main ini sudah pun mula dijana dan akan hadir pada aplikasi YouTube Music di Android atau iOS dan juga YouTube Music versi web.