LG Mengumumkan Tiga Monitor Siri Ultra Untuk Tahun 2020
Artikel Berkaitan
LG

LG Mengumumkan Tiga Monitor Siri Ultra Untuk Tahun 2020

Diterbitkan pada Dis 19, 2019 oleh .

Kita masih lagi di tahun 2019 tetapi produk yang akan hanya dijual pada tahun 2020 kini mula diumumkan oleh pengeluar. LG hari ini mengumumkan tiga monitor terbaru di bawah siri Ultra yang akan dilancarkan di acara CES yang bakal berlangsung pada tahun 2020.

LG UltraFine Ergo Display ialah monitor yang paling unik diumumkan hari ini kerana ia mempunyai tengkuk yang boleh diputar 70 darjah, mendongak 25 darjah dan tangkai yang boleh diputar 280 darjah. Skrin IPS sebesar 31.5″ 4K UHD ini mempunyai kadar segar semula 60Hz dan masa tindak balas 5ms. Ia boleh memaparkan kandungan HDR10 sehingga 350 nits dan 95% warna DCI-P3 boleh dipaparkan. Sokongan AMD FreeSync turut diberikan.

Tidak seperti monitor biasa, Ergo Display mempunyai tapak yang perlu diapit kepada permukaan meja. Ini mengingatkan kami kepada rekaan tapak Samsung Space Monitor sebelum ini. Terdapat input 1 x USB-C, 2 x HDMI, 1 DP dan 2 x USB-A.

LG UltraGear Gaming Monitor pula ditawarkan dalam saiz skrin Nano IPS sebesar 27″, 34″ dan 38″ pada resolusi 4K dan kadar segar semula sehingga 160Hz. Terdapat sokongan NVIDIA G-Sync dan paparan HDR yang melepasi piawaian VESA DisplayHDR 600 serta 98% warna DCI-P3. Input yang diberikan ialah 2 x HDMI, 1 x DP dan 3 USB-A.

Akhir sekali ialah LG UltraWide Monitor dengan skrin ultra-lebar Nano IPS 37.5″ beresolusi QHD+. Kadar segar semula adalah sehingga 144Hz dan masa tindak balas pula ialah 1ms. Terdapat sokongan NVIDIA G-Sync dan paparan HDR yang melepasi piawaian VESA DisplayHDR 600 serta 98% warna DCI-P3. Input yang diberikan ialah 1 x Thunderbolt 3, 2 x HDMI, 1 x DP dan 2 USB-A. 

Tarikh dan harga jualan kesemua monitor yang diumumkan masih belum diketahui. Maklumat lebih lanjut hanya akan diketahui di acara CES 2019 yang berlangsung dalam bulan Januari 2020.



TIPS & ULASAN