Carian
Xiaomi Mula Menjual Jam Tangan Pintar Haylou Smart Watch Pada Harga Sekitar RM70
December 23, 2019 Fahim Zahar

Bagi yang tidak tahu, Haylou adalah salah satu syarikat yang disokong kuat oleh Xiaomi. Antara produk mereka yang popular di Malaysia adalah Haylou GT1, set fon telinga nirwayar sebenar yang bersaing dengan Redmi Airdot. Terkini di laman biayasama Xiaomi, Youpin – jam tangan pintar Haylou Smart Watch mula dijual. Apa yang mengejutkan adalah, jam tangan ini berharga hanya sekitar RM70.

Jam tangan pintar ini sebenarnya adalah jam tangan penjejak kesihatan sahaja. Bayangkan Mi Band 4, tetapi dalam bentuk jam tangan pintar. Ia mempunyai bateri 210mAh dengan ketahanan sehingga 14 hari. Terdapat sembilan aktiviti yang boleh dijejak, pemantauan kesihatan 24 jam seperti tidur dan nadi, dan perlindungan kalis air dan debu IP68. Saiz skrin adalah 1,3-inci dengan panel TFT LCD sahaja. Resolusi pula terhad dengan 240×240 pixel dan mempunyai jisim sekitar 34g. Pengguna juga tidak akan ada masalah untuk menyemak notifikasi seperti dari aplikasi WeChat atau QQ.

Harga jualan rasmi di China adalah 119 Yuan dengan pilihan warna perak atau hitam. Harga dalam Ringgit adalah sekitar RM70 sahaja.

Komen