Cari @ Amanz

MIUI 11 adalah sistem operasi terkini daripada Xiaomi. Ia dibina berasaskan dari Android 7.0 Nougat sehingga Android 10, mengikut peranti yang disokong. Dalam MIUI 11, banyak perkara baharu yang Xiaomi perkenalkan – seperti fokus terhadap multi-tugasan, font yang sekata, ikon yang lebih kemas, animasi baharu, prestasi yang lebih pantas dan sistem pemberian notifikasi kini lebih baik.

Terkini dalam MIUI 11 versi beta, Xiaomi dilihat sedang menguji beberapa fungsi yang lebih menarik untuk pengguna. Antaranya adalah pada aplikasi MiSound dalam tetapan, Xiaomi sedang menguji penyama audio (euqalizer). Dalam penyama ini, Xiaomi turut menawarkan tetapan melaras aras suara mengikut umur yang bersesuaian seperti yang kita lihat dalam peranti Samsung. Bagi penyama yang biasa, pengguna boleh menetapkan praset tersendiri mengikut citarasa audio yang digemari.

Bukan itu sahaja, semalam pihak XDA juga ada melaporkan yang Xiaomi turut menguji kemampuan melaras paparan peranti dengan lebih baik. Fungsi ini dilihat berada dalam tetapan paparan, yang mana terdapat lebih banyak kawalan penentukuran paparan yang boleh dilakukan. Ada pilihan Enhanced, sRGB, P3, dan Original, yang mana kemudian pengguna juga boleh melaras RGB Color Space, HSV Color Space, Saturation, Gamma, dan banyak lagi. Fungsi ini juga sudah hadir pada banyak peranti Android lain seperti OnePlus dan banyak lagi.

Agak menarik akhirnya Xiaomi menawarkan lebih banyak kawalan mengubahsuai MIUI kepada pengguna. Sayang sekali, ia tidak boleh diuji oleh pengguna di Malaysia kerana MIUI versi beta tidak lagi dibangunkan dalam versi global dan hanya terhad di China sahaja. Pengguna di Malaysia mungkin boleh tunggu kemaskini ini diedarkan dalam MIUI 11 akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd