Cari @ Amanz

Kurang satu minggu sahaja lagi tahun 2020 akan bermula. Tahun 2020 sepatutnya adalah tahun yang mana dunia teknologi akan menjadi lebih hebat. Pelbagai bayangan, impian dan imaginasi untuk teknologi bertambah maju pada tahun hadapan dan terdapat banyak teknologi yang dilancarkan pada tahun 2019 ini memberi potensi besar. Jika pagi tadi telah kami kongsi 10 perkara yang mengecewakan dunia teknologi 2019, dalam artikel ini kami kongsi pula 10 perkara yang membanggakan dunia teknologi 2019.

1. Google Assistant 2.0

Google Assistant adalah pembantu digital yang paling popular dan paling hebat. Tiada pembantu digital lain yang dapat menandingi kehebatan Google Assistant. Semasa Google Pixel 4 dilancarkan, Google telah mengumumkan Google Assistant serba baharu atau ramai namakannya sebagai Google Assistant 2.0. Dalam Google Assistant baharu ini, Google telah menambah sokongan arahan suara berterusan daripada pembesar suara pintar kepada telefon pintar.

Kini Google tidak lagi perlu menyebut “Hey, Google” atau “Okay, Google” berulang kali untuk memberi arahan suara. Bukan itu sahaja, fungsi-fungsi menarik seperti Google Duplex juga sudah semakin hebat dengan adanya Call Screen serba baharu. Ia menggantikan peti simpanan suara dengan Google Assistant. Ya, ia terhad pada peranti Pixel dan di Amerika Syarikat sahaja. Tetapi jika anda perhati, Google sudah mula berikan fungsi-fungsi Pixel baharu ke Pixel lain dan ada fungsi Google Assistant yang sebelum ini terhad pada Pixel kini berada pada peranti Android lain. Jadi, di masa akan datang tidak dinafikan yang Google Assistant akan menjadi lebih relevan dan lebih efisien pada semua peranti Android.

2. Trend Pembunuh Peranti Mercu

Percaya atau tidak, ia bermula pada tahun 2013 oleh OnePlus. OnePlus hadir dengan OnePlus One melalui laman biayasama dan jemputan untuk memiliki peranti ini. Ia adalah pembunuh peranti mercu pertama dunia, harga jualan adalah hampir 50% lebih murah dari peranti mercu lain. Kemudian, tahun 2018 Xiaomi pula hadir dengan Pocophone F1 yang digelar sebagai pembunuh OnePlus. Tidak berhenti di situ Xiaomi hadir dengan Redmi K20 Pro pula atau di pasaran tempatan adalah Mi 9T Pro.

Tahun ini, Realme pula hadir dengan peranti mercu tersendiri Realme X2 Pro. Ia juga adalah pembunuh peranti mercu, yang mana hadir dengan spesifikasi seakan OnePlus 7T tetapi dijual pada harga yang jauh lebih murah. Di China, sub-jenama Vivo iQOO hadir dengan iQOO Neo 855 iaitu peranti mercu paling murah yang dijual sekitar RM1500 sahaja. Jadi tidak dinafikan tahun hadapan, peranti mercu mampu milik akan lebih menjadi-jadi dan hebat.

3. Skrin Kadar Segar Semula Tinggi

Dimulakan oleh Razer Phone dan diikuti oleh ROG Phone. Tetapi ia tidak mendapat cukup perhatian ramai kerana Razer Phone dan Razer Phone 2 adalah sepert Pixel 4 iaitu peranti yang mengecewakan. Manakala ROG Phone 1 dan 2 pula fokus kepada permua sahaja. Jadi, peranti OnePlus 7 Pro, OnePlus 7T dan OnePlus 7T Pro telah menjadi titik permulaan untuk semua peranti mercu wajib hadir dengan skrin kadar segar semula yang tinggi. Perati OnePlus menggunakan Fluid Display 90Hz sahaja. Lihat, Realme X2 Pro ikuti jejak langkah mereka dan Pixel 4 juga.

Di China, Redmi K30 hadir dengan skrin LCD dengan kadar segar semula 120Hz HDR. Ia adalah peranti kelas pertengahan, walaupun LCD ia diiktiraf dengan sokongan HDR. Jadi untuk tahun 2020, skrin dengan kadar segar semula akan menjadi trend untuk peranti mercu dan peranti kelas pertengahan premium. Tidak dinafikan yang skrin kadar segar semula tinggi adalah tanda aras baharu untuk menilai berbaloi tidak sesebuah peranti ini dimiliki.

4. Kamera Telefon Pintar Semakin Hebat

Sebut mengenai kamera, Pixel dan GCam adalah yang paling hebat. Bagi pengguna biasa, Huawei P20 ke atas atau iPhone. Sejak Huawei P20 Pro dilancarkan, jenama ini telah memegang takhta kamera terhebat sehinggalah Huawei Mate 30 Pro dan tiada peranti lain yang dapat menandingi jenama ini. Sehinggalah lensa 108MP diperkenalkan oleh Xiaomi dan Samsung dan digunakan pada Xiaomi Mi Note 10 dan Mi Note 10 Pro. Peranti ini kini seri di DXOMark bersama-sama dengan Huawei Mate 30 Pro. Hebat bukan?

Kamera pada telefon pintar kini semakin hebat. Bukan sahaja kerana saiz megapixel tetapi juga adalah sistem pasca-proses yang digunakan pada sesebuah peranti itu. Sistem ini bergantung kepada perisian, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin. Sudah tentu, Pixel yang memulakannya dan lihat sahaja hampir kesemua peranti sekarang banyak bergantung kepada perisian yang baik untuk hasil gambar yang baik. Contoh paling dekat adalah iPhone 11 Pro. Hadir dengan Deep Fusion dan pelbagai lagi kemampuan hebat dari segi perisian.

Jadi pada tahun 2020, lensa kamera dengan saiz sensor besar atau megapixel besar pasti akan digabungkan dengan kemampuan perisian yang hebat untuk kualiti yang menakjubkan. Mana tahu, akan lebih banyak peranti lain dapat menerima skor tanda aras yang lebih tinggi?

5. Trend TWS

Apple mula memperkenalkan set fon telinga nirwayar sebenar sejak tahun 2016 bersama-sama dengan iPhone 7 – Apple AirPods. Ia kini digelar sebagai TWS, iaitu True Wireless Stereo. Sejak itu, sudah banyak syarikat lain hadir dengan TWS tersendiri dan masing-masing ada keistimewaannya. Ya benar, TWS ini sudah lama dan sudah 3 tahun dalam pembangunan.

Tetapi pada tahun 2019, syarikat-syarikat terkenal mula aktif hadir dengan TWS tersendiri. Vivo, Oppo dan Huawei semuanya ada variasi yang tersendiri. Xiaomi juga hadir dengan versi tersendiri dan mereka bukan sahaja hadir dengan versi murah, versi mahal dan premium juga turut ditawarkan. Dengan pengenalan terhadap Apple AirPods Pro yang menyokong pembatalan hingar aktif, TWS dengan sokongan ini akan menjadi satu trend baharu.

6. 5G & IoT

5G adalah rangkaian Internet baharu. Ia sudah mula diperkenalkan secara meluas pada tahun ini dan di Malaysia ujian juga sudah dimulakan. Rangkaian 5G ini akan menawarkan pelbagai perkara baharu di dunia dan bukan terhad kepada Internet untuk pengguna sahaja. Ia adalah medium sambungan serba baharu yang mempunyai masa pendam yang rendah. Di Malaysia, Langkawi adalah lokasi pilihan untuk ujian meluas. Dengan 5G juga, kereta swa-pandu dapat dijayakan. Walaupun masih di peringkat awal, aplikasi 5G ini adalah luas dan banyak perkara yang dahulu mustahil kini menjadi realiti.

Dengan 5G juga, penggunaan IoT iaitu peranti berhubung akan menjadi semakin luas. Bukan Google sahaja hadir dengan peranti berhubung tersendiri, tetapi Samsung, Apple, Vivo, Oppo dan Huawei juga hadir dengan ekosistem mereka yang tersendiri. Tidak lupa juga yang Apple, Google, Ikea dan banyak lagi jenama juga sudah bersatu untuk menggunakan satu standard sambungan peranti berhubung.

7. Peranti Dengan Skrin boleh Lipat

Pada mulanya kami fikirkan yang peranti boleh lipat akan menjadi gagal dan tidak relevan. Namun kami silap, selepas berpeluang menguji Samsung Galaxy Fold ia membuktikan ini adalah rekabentuk baharu sesebuah telefon pintar untuk tahun hadapan. Ya, Galaxy Fold semasa baru dilancarkan gagal, Tetapi selepas Samsung tangguhkan jualan dan hadir semula dengan variasi baru, ia mengubah persepsi pengguna terhadap pengalaman penggunaan baharu.

Reka bentuk telefon pintar boleh lipat lain adalah, Motorola Razr. Iaitu rekaan clamshell. Ia adalah peranti yang benar-benar sebuah telefon dengan skrin boleh lipat. Ini kerana Galaxy Fold adalah sebuah tablet yang boleh dilipat menjadi telefon. Motorola Razr pula adalah telefon yang boleh dilipat menjadi satu peranti kecil hanya untuk kamera dan notifikasi sahaja. Huawei Mate X pula, adalah satu lagi jenis peranti boleh lipat yang skrinnya dilipat secara keluar. Tetapi ia mungkin tidak akan menjadi pilihan ramai kerana tidak begitu praktikal.

Jadi, tahun 2020 kelak akan mempelajari trend 2019 ini dan tidak mustahil lebih banyak peranti boleh lipat akan dilancarkan kelak. Jika Galaxy Fold harga mencapai sehingga RM8K, mungkin kelak akan ada peranti boleh lipat berharga bawah RM4K?

8. Siaran Televisyen Analog Dimatikan

Akhirnya. Ya, akhirnya Malaysia sudah ke arah digital 100%. Tahun ini, Malaysia sudah mematikan siaran analog sepenuhnya dan beralih ke siaran digital secara penuh. Sistem digital yang digunakan adalah myFREEVIEW. Pengguna perlu menyambungkan antena biasa dengan kotak set serba baharu seperti sebuah Android Box untuk menggunakan siaran digital.

myFREEVIEW ialah perkhidmatan penyiaran televisyen digital yang percuma yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan, dan bukan sahaja hadir dengan rangkaian-rangkaian televisyen yang baru dan hadir dengan resolusi yang lebih tinggi, tetapi juga membebaskan spektrum-spektrum yang boleh digunakan untuk sambungan 5G dimasa akan datang.

Setakat ini, myFREEVIEW mempunyai 14 saluran televisyen yang boleh ditonton secara percuma, dan lebih banyak saluran lagi akan tiba dimasa akan datang.

9. Harga Langganan Internet Semakin Murah

Tahun ini juga adalah tahun yang menarik bagi pengguna di Malaysia. Akhirnya harga langganan Internet adalah murah. Ia bermula dengan pelan Internet gentian optik seperti UniFi, Time dan banyak lagi yang dahulunya mahal – kini berada dalam kategori mampu milik. Bukan itu sahaja, TM juga menawarkan langganan percuma sehingga Disember tahun ini.

Unifi Pay Nothing

Dengan harga Internet yang murah ini, pelan langganan Streamyx juga akhirnya menerima potongan harga yang drastik. Akhirnya harganya masuk akan dan sesuai dengan sambungan Internet yang ditawarkan. Ini kerana sebelum ini pelan gentian optik adalah lebih murah dari sambungan kuprum ini. Malaysia jelas ada perubahan baharu dalam arena Internet.

10. Pemprosesan AMD Adalah Masa Hadapan

Untuk dunia komputer, sudah tentu ada kebaikannya yang membanggakan ramai pengguna. Percaya atau tidak, ia adalah daripada AMD. Ya, AMD berjaya menghasilkan cip pemprosesan Ryzen yang hebat dan sangat sesuai dengan nisbah harga-ke-prestasi. AMD Ryzen 3000 ZEN 2 adalah cip tersebut.

Salah satu daripada kelebihan yang hadir pada siri CPU AMD Ryzen 3000 yang baru diperkenalkan ini termasuklah sokongan untuk ciri PCIe 4.0, yang menjanjikan kadar penghantaran data yang jauh lebih pantas berbanding dengan PCIe 3.0. Setakat ini, terdapat beberapa pembekal storan seperti Corsair dan juga Gigabyte yang sudahpun hadir dengan SSD yang menyokong penuh teknologi tersebut.

Selain dari itu, pilihan CPU AMD juga bukan sahaja murah, tetapi juga boleh digunakan dengan papan-papan induk AM4 generasi pertama dan kedua Ryzen dengan kemaskini BIOS sahaja. Ini dapat menjimatkan wang pengguna jika pengguna hanya mahu menaiktarafkan CPU mereka sahaja, atau hanya mahu menggunakan papan induk B250/B350 dan bukan X570 yang baru.


Ini pada pendapat kami ialah berita dan perkara paling mengecewakan pada tahun 2019. Bagaimana pula dengan anda? Jika kami terlepas pandang sesuatu sila nyatakan di ruangan komen di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd