Xiaomi Bakal Hadir Dengan Set Fon Kepala Pembatalan Hingar Tersendiri

Xiaomi Bakal Hadir Dengan Set Fon Kepala Pembatalan Hingar Tersendiri

Diterbitkan pada Dis 26, 2019 oleh .

Set fon kepala pembatalan hingar aktif yang paling popular sekarang, tidak dinafikan adalah Sony WH-1000X M3. Harga ketika ia dilancarkan adalah RM1,599 dan kini ia sudah boleh didapati dengan harga bawah RM1K. Malah pada tahun hadapan, kemungkinan besar penggantinya akan dilancarkan oleh Sony. Trend aksesori audio dengan pembatalan hingar ini semakin menjadi-jadi, dengan Apple AirPods Pro turut mengikuti jejak langkahnya dan tahun hadapan akan ada lebih banyak aksesori audio sebegini.

Xiaomi juga tidak lari dengan populariti mereka terhadap aksesori audio. Jika anda benar-benar mengikut perkembangan Xiaomi, mereka pernah hadir dengan set fon kepala premium berkualiti tinggi – Mi Headphone (ZBW4189CN) yang dijual pada harga RM369. Mereka juga ada banyak set fon telinga yang murah. Terkini di laman web rasmi pengiktirafan Bluetooth, Xiaomi telah mendaftarkan set fon kepala dengan pembatalan hingar. Ia akan menggunakan teknologi Bluetooth 5.0 dan nombor modelnya adalah TDLYEJ02WM. Nama set fon kepala ini adalah Mi Noise Cancelling Wireless Headphones. Sayang sekali, tiada informasi lain mengenai aksesori audio ini dan harapnya mereka akan kembali dengan rekaan premium seperti model ZBW4189CN.



TIPS & ULASAN