Berikutan pengumuman penambahan cukai untuk perkhidmatan-perkhidmatan digital seperti penstriman video, audio dan sebagainya bermula Januari 2020, Netflix Malaysia telah mengumumkan bahawa cukai SST 6 peratus akan dikenakan bermula 9 Januari 2020.
Menurut laporan The Star, cukai tersebut akan dikenakan untuk pelan-pelan Basic, Standard dan Premium mereka, dimana pelan Basic akan melihat kenaikan harga dari RM33 ke RM35, Standard dari RM42 ke RM45 dan Premium dari RM51 ke RM55 pada tarikh tersebut.
Menariknya, pelan mudah-alih Netflix tidak akan menerima sebarang kenaikan harga, dan akan kekal pada tanda harga RM17 sebulan, dan hanya boleh digunakan pada peranti-peranti mudah-alih.
Kami telah bercakap kepada Leigh Wong, Ketua Komunikasi di Netflix Asia Tenggara, dan beliau berkata bahawa kenaikan harga langganan Netflix telahpun ditetapkan, dan pengumuman mengenainya kebetulan sama dengan masa yang ditetapkan untuk perkhidmatan-perkhidmatan digital dikenakan cukai SST.
Menurut Leigh lagi, kenaikan harga baru ini termasuk cukai SST 6 peratus yang diumumkan, jadi kesannya kepada para pengguna Netflix hanyalah secara minima sahaja.