Dell hari ini telah memperkenalkan kemaskini untuk penawaran komputer riba Dell XPS 13. Dell dilihat terus menambah-baik rekaan komputer riba berkenaan, menjadikannya lebih elegan berbanding sebelumnya.
Dell XPS 13 ini dikemaskini dengan rekaan skrin 16:10, selain pada masa yang sama turut menggunakan rekaan bingkai yang lebih nipis berbanding sebelum ini. Ini sekaligus menjadikan penggunaan skrin InfinityEdge pada XPS 13 lebih moden berbanding sebelumnya.
Dell turut mengekalkan penggunaan kamera pada bahagian atas skrin, yang mana turut boleh digunakan untuk sokongan Windows Hello. Dell menyertakan spesifikasi terkini bersama dengan komputer riba ini, termasuk penggunaan cip intel Core Generasi-10, selain dilengkapi pilihan memori sehingga 32GB RAM, storan sehingga 2TB SSD, dan Dell mengatakan kini ia menawarkan masa penggunaan bateri sehingga 19 jam lamanya.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Dell Malaysia akan melancarkannya secara rasmi di Malaysia, dan berapakah harga jualannya kelak.