Samsung Memperlihatkan Siri Komputer Riba Terbaru Mereka – Galaxy Book Flex α

Samsung Memperlihatkan Siri Komputer Riba Terbaru Mereka – Galaxy Book Flex α

Diterbitkan pada Jan 3, 2020 oleh .

Di Malaysia, Samsung dikenali sebagai sebuah syarikat teknologi yang memfokuskan kepada peranti-peranti pintar dan juga televisyen dan perkakasan rumah.

Di pasaran-pasaran lain seperti Korea Selatan dan Amerika Syarikat, Samsung juga dikenali untuk komputer-komputer riba mereka, dan terkini, mereka telah memperlihatkan model terbaru didalam siri komputer riba Galaxy Book Flex mereka, iaitu Samsung Galaxy Book Flex α.

Komputer riba Galaxy Book Flex α ini akan dilengkapi dengan sebuah paparan QLED bersaiz 13.3 inci dengan resolusi Full HD dan mempunyai rekaan boleh-lipat yang membolehkannya digunakan sebagai sebuah tablet juga.

Rekaan komputer riba ini juga cukup padat pada ketebalan 13.9mm sahaja, manakala dengan berat 1.19kg, komputer riba ini boleh digunakan sebagai sebuah mesin produktiviti yang boleh dibawa kemana-mana.

Dari segi spesifikasi dalaman, Galaxy Book Flex α ini akan dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core generasi kesepuluh, memori DDR4 sehingga 12GB dan storan SSD PCIe sehingga 1TB.

Samsung turut menjanjikan jangkahayat bateri yang sangat panjang pada 17.5 jam, dan untuk mempercepatkan pengecasan bateri laptop tersebut, ia juga akan hadir dengan sistem pengecasan pantasnya sendiri.

Menurut Samsung, mereka akan mula menjual komputer riba Samsung Galaxy Book Flex α ini pada harga bermula $829.99 menjelang pertengahan pertama tahun ini untuk pasaran Amerika Syarikat.



TIPS & ULASAN