Carian
Xiaomi Mi Watch Color Sudah Mula Dijual – Wear OS, 110 Muka Jam, Harga Sekitar RM470
January 3, 2020 Fahim Zahar

Xiaomi Mi Watch Color adalah jam tangan pintar sebenar Xiaomi ketiga yang dilancarkan dalam masa terdekat. Mi Watch adalah “klon” Apple Watch, kemudian mereka hadir dengan Mi Watch Forbidden City dengan rekaan skrin bulat tetapi spesifikasi yang rendah dan terkini adalah Mi Watch Color.

Mi Watch Color adalah variasi yang lebih murah dan boleh dikatakan adalah yang paling murah dalam keluarga Wear OS. Ya, kesemua Mi Watch yang dilancarkan Xiaomi menjalankan Wear OS tetapi mempunyai antaramuka tersendiri – MIUI for Watch. Mi Watch Color hadir dengan skrin 1.39-inci AMOLED, resolusi 454 x 454 dan bersaiz 46.2mm. Rangka jam adalah dari besi, hadir dengan sokongan NFC, Bluetooth 5.0 BLE, dan perlindungan kalis air 5ATM. Lebih menarik, jam ini juga hadir dengan GPS terbina dan ketahanan bateri sehingga 14 hari untuk mod jam biasa atau 22 hari jika jam sahaja atau juga 22 jam mod sukan.

Untuk kecergasan, Xiaomi menggunakan sistem Firstbeat yang hadir dengan 10 jenis aktiviti dan boleh membaca data VO2Max. Untuk menjadikan jam ini lebih pintar, XiaoAI turut hadir secara terbina. Walaupun ia menjalankan Wear OS dan boleh menggunakan aplikasi dari Play Store seperti biasa, banyak aplikasi sistem perkhidmatan Google tidak boleh digunakan kerana ia terhad untuk kegunaan di China sahaja. Tidak menjadi masalah jika pengguna di Malaysia ingin menggunakannya, tetapi bahasa Inggeris yang terpapar adalah tidak sempurna.

Xiaomi tidak mendedahkan cip pemprosesan yang digunakan, jadi ia mungkin adalah cip yang tersendiri. Kemudian, Mi Watch Color juga tiada storan dalaman – jadi pengguna tidak boleh memasang aplikasi pihak ketiga. Harga jualan di China adalah 799 Yuan, iaitu sekitar RM470 sahaja. Ia adalah jam tangan pintar Wear OS paling murah setakat ini dan Xiaomi menawarkan pilihan warna perak atau hitam.

Komen