Tahun 2019 adalah tahun Garmin mula aktif. Pelbagai jam tangan pintar yang memfokuskan kesihatan yang mereka telah lancarkan dari pelbagai harga. Tetapi tahukah anda, selain Garmin – terdapat jenama lain yang turut mempunyai produk yang lebih kurang sama? Jenama ini adalah Suunto. Ya, mereka sudah laman mendiamkan diri sehinggalah di acara CES 2020.
Suunto telah memperkenalkan Suunto 7. Ia adalah jam tangan pintar Wear OS dengan fokus kepada kecergasan, aktiviti lasak dan GPS dengan sokongan peta luar talian. Ia juga mempunyai sensor pengimbas nadi, altimeter, sistem pemantauan tidur dan segala kemampuan dan keupayaan Wear OS. Sudah tentu, jam ini turut boleh ditambat ke Google Fit jadi pengalaman penggunaan adalah lebih selesa berbanding menggunakan aplikasi tersendiri yang kebiasaannya mengambil masa untuk belajar cara penggunaan. Untuk bateri, ia mampu bertahan selama 48 jam mod pintar, 12 jam mod GPS, dan dijana dengan cip Snapdragon Wear 3100.
Saiz skrin adalah 1.97-inci, 50mm, ketebalan rangka adalah setengah inci, berat adalah 70 gram dan mempunyai perlindungan kalis air 50 meter. Suunto akan dijual pada hujung Januari dengan tanda harga $499.99, iaitu sekitar RM2054.01.