Jabra adalah syarikat yang mempunyai pengalaman audio selama 150 tahun. Mereka dikategorikan sebagai syarikat yang menghasilkan produk-produk audio premium dan sehingga hari ini mereka telah menjual pelbagai jenis set fon telinga, set fon kepala, baik yang berwayar, nirwayar atau juga jenis TWS.
Kini di CES 2020, mereka telah memperkenalkan dua peranti baharu – Elite Active 75t dan Elite 45h. Jabra Elite Active 75t adalah set fon telinga Elite 75t dengan lebih fokus kepada sukan dan aktiviti tahan lasak. Secara keseluruhan, ia sama sahaja dengan Elite 75t biasa – cuma kini dengan perlindungan kalis air dan debu IP57. Jabra menawarkan warna Navu, copper black (eksklusif di Amazon), titanium black (eksklusif Best Buy), Gray, sienna dan mint. Ketahanan bateri adalah 7.5 jam fon telinga dengan jumlah 28 jam termasuk pod pengecasan. Ia adalah set fon telinga nirwayar sebenar, atau TWS dengan harga jualan $199.99 (~RM852).
Untuk Jabra Elite 45h, ia merupakan sebuah set fon kepala. Menurut Jabra, mereka inginkan set fon kepala ini menjadi tanda aras baharu untuk sesebuah set fon kepala bagi mana-mana syarikat yang ingin hadir dengan set fon kepala. Ia mempunyai ketahanan bateri selama 40 jam, dengan ketahanan selama 8 jam untuk 15 minit pengecasan. Ia juga boleh dilipat agar mudah disimpan dan dibawa ke mana-mana. Elite 45h menggunakan pemacu audio 40mm, dwi-mikrofon, Bluetooth 5.0 dan kawalan satu sentuhan untuk mengakses pembantu digital. Harga jualan adalah $99, iaitu sekitar RM407 sahaja.
Akhir sekali, Jabra memperkenalkan aplikasi baharu untuk digunakan untuk mengawal aksesori-aksesori audio mereka. Aplikasi ini adalah MySound. Aplikasi ini dibangunkan oleh anak syarikat mereka GN Hearing dan mereka menggunakan teknologi pendengaran tersendiri. GN Hearing adalah syarikat yang bertanggungjawab untuk alat bantuan mendengar dan dengan kepakaran mereka, aplikasi ini boleh mengindividukan pengalaman pendengaran berbeza untuk pengguna berbeza. Pengguna juga boleh membuat profil pendengaran masing-masing berdasarkan aplikasi Jabra Sound+.
Di Malaysia, Jabra Elite Active 75t dan Elite 45h hanya akan dijual pada bulan Mac. Manakala, Elite 75t yang biasa akan mula dijual di Malaysia hujung Januari tidak lama lagi.