Facebook merupakan salah satu syarikat yang membuat pelaburan tinggi dalam arena realiti-terimbuh (AR), dan telah pun berkongsi hasrat mereka untuk hadir dengan kaca mata AR tersendiri sebelum ini.
Kini, selari dengannya, ketua Facebook Reality Labs baru-baru ini telah berkongsi beberapa perkara berkenaan perkembangan arena realiti-gabungan. Menurut beliau, arena realiti-terimbuh ini dijangka akan digunakan secara meluas pada masa akan datang, sekaligus memudahkan lagi pelbagai interaksi.
Kelak, pengguna dijangka akan dapat berinteraksi dengan yang lain tanpa perlu menggunakan telefon, dan hanya menggunakan kaca mata pintar sahaja. Ini sekaligus akan membuatkan pengguna lebih bergantung kepada kaca mata pintar berbanding kepada telefon pintar pada hari ini.
Apa pun, seperti biasa, telefon dijangka akan kekal digunakan untuk tujuan menghubungkan kaca mata pintar berkaitan, menggunakan kuasa perkomputerannya, serta untuk beberapa tujuan lain. Ini bermakna, pengguna akan lebih aktif menggunakan kaca mata AR pada masa akan datang, tetapi telefon masih digunakan untuk beberapa tujuan.
Arena kaca mata dengan sokongan realiti-terimbuh ini dijangka akan mula popular dalam masa sekitar 5 ke 10 tahun akan datang.