Acer Melancarkan Tiga Monitor Predator Terkini – Salah Satu Dengan Skrin 4K OLED Gergasi 55-Inci

Acer Melancarkan Tiga Monitor Predator Terkini – Salah Satu Dengan Skrin 4K OLED Gergasi 55-Inci

Diterbitkan pada Jan 6, 2020 oleh .

Acer melancarkan tiga monitor baharu di CES pagi ini. Ketiga-tiga monitor Predator ini menyasarkan peminat permainan video tegar dengan kemampuan berbeza. Kita mulakan dahulu dengan Predator CG552K dengan skrin 4K OLED sebesar 55-inci. Panel ini menyokong keterangan sehingga 400 nit dan paparan warna 98.5% DCI-P3. Turut disertakan ialah sokongan NVIDIA G-Sync dan kadar segar semula boleh ubah VRR. Masa tindak balas adalah 0.5 ms dan kadar segar semula maksimum pula ialah 120Hz.

Terdapat 3x port HDMI 2.0, 2x DP 1.4, 1x USB-C. Sepasang pembesar suara dengan output 20W turut disertakan. Kerana ia sebuah produk Predator, terdapat sokongan lampu yang boleh diubah oleh pengguna mengikut kehendak peribadi. Predator CG552K adalah untuk mereka yang merasakan Predator CG437K adalah masih tidak cukup besar untuk digunakan.

Seterusnya ialah Predator X38 dengan skrin 37.5-inci UWQHD+ dan lengkungan 2300R. Ia melepasi piawaian VESA DisplayHDR 400. 98.5% warna DCI-P3, masa tindak balas 1ms dan kadar segar semula sehingga 175Hz. Leher monitor memberikan kebebasan mendongak sehingga 30 darjah dan ketinggian pula sehingga 5.11″. Sambungan menggunakan HDMI 2.0 dan DP 1.4 boleh dilakukan. Akhir sekali sepasang pembesar suara 14W melengkapi spesifikasi.

Akhir sekali ialah Predator X32 sebesar 32-inci Mini LED dengan resolusi UHD. Ia melepasi piawaian VESA DisplayHDR 1400, warna 10-bit, 99% warna AdobeRGB dan kadar segar semula 144Hz. Seperti dua monitor di atas, X32 juga turut menerima sokongan NVIDIA G-Sync. Terdapat input HDMI 2.0, DP 1.4 dan empat port USB untuk sambungan pelbagai aksesori. Akhir sekali terdapat juga sepasang pembesar suara 4W.

Acer Predator X32 akan ditawarkan pada suku kedua 2020 pada harga $3599 (~RM14800) , Predator X38 bermula April 2020 pada harga $2399 (~RM9900) dan akhir sekali Predator CG552K bermula suku ketiga 2020 pada harga $2999 (~RM12400).


TIPS & ULASAN