Cari @ Amanz

Kotak TV Astro Ultra Box telah dilancarkan secara rasmi pada bulan November tahun lalu. Menerusi Ultra Box pengguna akhirnya dapat menikmati kanduongan televisyen satelit pada resolusi tinggi 4K di rumah. Seperti biasa apabila muncul perkhidmatan baharu, ramai mungkin mempunyai pelbagai pertanyaan mengenai cara menggunakannya. Di bawah ialah tujuh tips menarik dan yang perlu anda ketahui untuk menggunakan Ultra Box secara lebih menyeluruh.

Tapi sebelum itu harus saya katakan Ultra Box ini memerlukan sambungan Internet (pada kelajuan sekurang-kurangnya 10Mbps) untuk menikmati kesemua ciri-cirinya kecuali tengok saluran TV secara langsung atau saluran kandungan 4K UHD

Tips 1 – Melihat Senarai Rancangan

Kita mulakan dengan tips paling asas iaitu melihat senarai rancangan yang boleh ditonton pada hari ini, esok atau sehingga empat hari ke hadapan. Memandangkan Astro menawarkan lebih dari 100 saluran, mencari kandungan yang ingin ditonton mungkin akan menjadi sedikit leceh. Tiada masalah kerana dari skrin senarai rancangan tadi, anda boleh melihat kotak dengan label All Channels, pilih kotak ini dan tekan OK pada alat kawalan. Dari menu yang terbuka anda boleh menyaring kandungan berdasarkan genre (Movies, Sports, News, etc) atau bahasa (Bahasa Malaysia, Chinese, Indian, etc). Dengan kandungan yang telah disaring, mencari saluran yang ingin ditonton menjadi lebih mudah.

Tips 2 – Mengakses Menu

Seterusnya ialah mengakses menu utama Ultra Box. Tekan butang dengan ikon rumah pada alat kawalan jauh dan anda akan dibawa ke hab utama Ultra Box. Dari skrin ini anda boleh mengakses sub-menu pada bahagian atas skrin seperti Catch Up, Boxsets, Movie, Kids, Store, My Library dan banyak lagi. Apa yang dipaparkan bergantung kepada pakej langganan anda.

Menerusi Catch Up anda boleh menonton siri TV yang mungkin anda terlepas baru-baru ini seperti Dansa Dan Sing misalnya. Dengan Boxsets pula anda boleh menonton siri TV atau filem popular seperti Game of Thrones atau Harry Potter. Kesemua kandungan ini kemudian boleh distrim terus menerusi Ultra Box anda secara percuma kecuali kandungan dalam Store. Dalam Store anda boleh menyewa filem-filem blockbuster terkini yang ditawarkan menerusi saluran Astro Best atau Astro First.

Tips 3 – Bagaimana Merakam Kandungan Satu Atau Multi Rangcangan Secara Serentak

Dengan ratusan saluran pastinya sukar mencari ruang masa untuk menonton rancangan kegemaran. Oleh itu anda boleh merekod kandungan diminati untuk tontonan di lain hari. Dari senarai rancangan, tekan butang rekod R berwarna merah pada alat kawalan jauh. Skrin TV akan memberikan notifikasi jika rakaman telah dilakukan.Tekan butang rekod sekali lagi untuk membatalkan atau menghentikan rakaman rancangan.

Kesemua kandungan yang telah direkod boleh diakses menerusi menu My Library. Anda bebas merakam sebanyak mana rancangan yang diminati asalkan masih terdapat ruang di storan awanan Astro Cloud. Astro Ultra Box menawarkan 200 jam rakaman awanan HD secara percuma untuk setiap pelanggan.

Perubahan besar Ultra Box selain kandungan 4K ialah fungsi storan awanan. Ini membolehkan lebih dari dua rancangan dirakam serentak pada satu-satu masa. Tiada lagi had jumlah kandungan yang boleh dirakam secara serentak jika anda menggunakan fungsi storan awanan. Pelanggan juga boleh menggunakan fungsi storan awanan ini menerusi aplikasi Astro GO.

Tips 4 – Mengapa Rakaman Tidak Boleh Dilakukan Pada Saluran Tertentu?

Tidak kesemua kandungan yang ditawarkan oleh Ultra Box boleh dirakam. Contohnya rakaman kandungan pada resolusi 4K UHD (seperti saluran 780) tidak boleh dilakukan pada waktu ini memandangkan Astro Cloud hanya membenarkan rakaman pada resolusi HD penuh sahaja. Selain itu saluran HBO, Cinemax, CNBC Asia, NHK World, Astro First, dan Astro Best juga tidak boleh dilakukan. Ini adalah kerana batasan dari pemegang harta intelek pemilik kandungan.

Tips 5- Fungsi Stop Here Continue There

Walaupun rancangan telah direkodkan, anda mungkin masih tidak mampu menontonnya di kaca TV. Jika ini kerap berlaku pada anda, fungsi Stop Here Continue There adalah amat berguna. Ketika menonton rancangan di televisyen, tekan butang OK pada alat kawalan jauh untuk membuka menu pemain video. Kemudian pilih Stop dan tekan butang OK sekali lagi. Video yang ditonton kini telah dijedakan.

Anda kemudian boleh menyambung menonton video yang sama pada telefon pintar dan tablet menggunakan aplikasi Astro GO, Pergi ke menu My Library di dalam aplikasi dan pilih rancangan yang sama. Anda boleh melihat butang Resume dan video akan dimainkan semula dari babak terakhir anda tonton sebelum dijeda.

Tip 6 –  Bagaimana Megakses Kandungan 4K UHD

Dari awal kami ada menyebut tentang kemampuan menonton kandungan 4K menggunakan Ultra Box. Tetapi adakah anda mempunyai televisyen 4K yang sesuai? Pertama sekali pastikan televisyen anda mempunyai port HDMI yang menyokong HDCP 2.2. Kesemua televisyen 4K yang dikeluarkan selepas 2015 mempunyai port ini. Jika anda tidak tahu bilakah televisyen anda dikeluarkan, pergi ke bahagian belakang TV dan lihat port HDMI. Pada port tersebut perkataan HDCP 2.2 biasanya akan tertera.

Sekiranya televisyen anda melepasi piawaian HDCP 2.2, kandungan 4K dari Ultra Box akan dipaparkan tanpa masalah menerusi saluran 780. Sekiranya tidak (atau anda sekadar menggunakan TV HD penuh), amaran HDCP 2.2 Error akan dipaparkan pada skrin.

Tips 7 – Fungsi Play From Start

Tips terakhir ialah fungsi Play From Start. Sekiranya anda terlepas minit-minit awal perlawanan bola sepak misalnya jangan risau. Tekan OK pada alat kawalan jauh dan menu pemain video akan muncul pada skrin. Pilih butang Play From Start untuk menonton rancangan yang sama dari awal. Ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sebuah rancangan sedang bersiaran secara langsung. Dengan fungsi ini anda tidak lagi perlu berlari ke rumah semata-mata untuk ketinggalan menonton pasukan bola sepak kegemaran anda beraksi. Pandu dengan tenang ke rumah dan gunakan Play From Start untuk menonton dari tiupan wisel pertama.

Jadi ini ialah tujuh tips yang perlu anda tahu untuk benar-benar menguasai penggunaan Astro Ultra Box anda. Selamat menonton.

 

Penafian: Advertorial daripada Astro

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd