Cari @ Amanz

Pengguna pada tahun 2020 mahukan komputer yang mampu beroperasi seperti sebuah telefon pintar. Ia perlu pantas dihidupkan, digunakan, hayat penggunaan yang lama dan paling penting sekali mempunyai sambungan kepada rangkaian Internet selular yang pantas. Lenovo Yoga 5G yang diumumkan pada pagi ini ialah komputer riba Windows pertama dilengkapi cip Qualcomm Snapdragon 8cx 5G. Ini ialah kesinambungan kepada prototaip Project Limitless yang diperlihatkan Mei tahun lalu,

Yoga 5G menyokong rangkaian 5G gelombang milimeter dan sub-6GHz bagi memberikan capaian Internet yang pantas. Selain itu ia turut dilengkapi skrin sesentuh sebesar 14″ IPS HD penuh lengkap dengan sokongan stylus. Skrin ini turut boleh diputarkan 360 darjah untuk mengubahnya menjadi sebuah tablet. Komputer riba Always Connected PC ini turut hadir dengan sistem imbasan wajah infra merah serta pengimbas cap jari terbina.

Tiada sistem kipas diperlukan yang membuatkannya beroperasi dengan senyap seperti sebuah tablet. Tambahan lagi menurut Lenovo, Yoga 5G boleh beroperasi berterusan selama 24 jam dengan sekali caj. Lenovo Yoga 5G akan mula dijual sekitar Mac pada harga bermula dari $1,499 (~RM6143) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd