Cari @ Amanz

Kali pertama kami menggunakan telefon pintar ialah pada tahun 2010. Perkara pertama yang kami sedari ialah bateri yang tidak mampu bertahan walaupun sehari. Ini ialah kejutan besar kerana selama ini telefon Nokia 3310 yang kami miliki boleh bertahan sehingga seminggu. Teknologi bateri Li-ion semasa masih tidak menunjukkan peningkatan yang selari dengan kemajuan teknologi lain pada telefon pintar.

Penyelesaiannya mungkin dengan berubah kepada teknologi bateri lithium-sulfur. Penyelidik dari Monash University telah mengumumkan kejayaan membangunkan bateri litium-sulfur baharu yang membuka pintu kepada telefon pintar yang hanya perlu dicas lima hari sekali atau kereta elektrik dengan jarak operasi 1000 kilometer.

Bateri lithium-sulfur bukanlah teknologi baharu dan mempunyai potensi besar kerana mempunyai tahap kepadatan tenaga lima kali lebih besar berbanding li-ion. Tetapi ia mempunyai kekurangan dalam ketahanan kitaran pengecasan. Selepas hanya beberapa puluh kitaran pengecasan, kecekapan menyimpan tenaga akan turun mendadak. Tetapi penyelidik di Monash menemui teknik baharu yang mengelakkan kerosakan berlaku kepada komponen sulfur yang tidak mampu menahan tekanan dicas berkali-kali.

Hasilnya ialah dalam ujian makmal, selepas 200 kali kitaran pengecasan. kecekapan bateri menyimpan caj masih ditahap 99% yang lebih tinggi dari bateri litium-sulfur sebelum ini. Mereka kini akan mengembangkan ujian dalam penggunaan bateri pada kenderaan elektrik dan storan untuk stesen janakuasa solar.

Tahun lalu kita melihat penemuan teknik baharu yang dapat memanjangkan jumlah kitaran pengecasan bateri lithium dan bateri dari sumber air laut. Untuk memastikan dunia masa hadapan benar-besar mesra alam, bateri yang tidak perlu kerap ditukar seperti sekarang perlu dibangunkan segera. Sekiranya tidak lambakan bateri lama akan menjadi masalah besar generasi akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd