Carian
Lenovo ThinkBook Plus Dilengkapi Skrin E-Ink Pada Bahagian Penutup
January 7, 2020 Effi Saharudin

Masa untuk melihat antara produk aneh yang telah dilancarkan di CES. Kita mulakan dengan Lenovo ThinkBook Plus yang mempunyai sebuah skrin e-ink sekunder pada bahagian penutupnya. Dengan sistem ini, komputer riba masih boleh digunakan seperti sebuah tablet tanpa skrin  diputar 360.

  Persoalan di batu jemala anda pastinya ialah mengapa produk ini dihasilkan? Menurut Lenovo kajian pengguna mendapati pekerja membazirkan sehingga 2.1 jam sehari untuk melakukan multi-tugas. Dengan skrin e-ink pada panel penutup, pengguna boleh melakukan tugas dengan pantas tanpa skrin dibuka terlebih dahulu. Ia juga memudahkan kolaborasi dengan rakan sekerja apabila skrin e-ink digunakan sebagai paparan kedua ketika perbincangan.

Skrin utama LCD sebesar 13.3-inci HD penuh ini dipadankan dengan skrin 10.8-inci e-ink, pemproses sehingga Intel Core i7 generasi kesepuluh, memori sehingga 32GB, storan SSD sehingga 512GB dan bateri sebesar 45Wh,

Bagi mengoptimasikan penggunaan skrin luaran, sebuah stylus yang disambung secara magnetik turut disertakan. Lenovo ThinkBook Plus akan dijual pada Mac ini dengan harga bermula $1199 (~RM4200).

Komen