Sebelum perkataan tablet sinonim dengan iPad, tablet lebih sinonim dengan produk lukisan digital keluaran Wacom. Sekiranya anda seorang pereka grafik, tablet keluaran Wacom memberikan kejituan melakukan lakaran yang tiada tolok bandingnya. Kemampuan tablet mereka kini turut boleh digunakan pada telefon pintar Android menerusi Wacom One.
Tablet ini dilengkapi skrin sebesar 13.3″ menyokong resolusi HD penuh dengan kemampuan memaparkan 72% warna NTSC. Stylus yang dibekalkan mengesan 4096 tahap tekanan dan sudut sendeng sehingga 60%. Tongkat pada bahagian belakang pula membolehkan tablet diletakkan pada sudut 19 darjah. Wacom One boleh digunakan pada sistem operasi Windows, Mac dan Android.
Sambungan adalah menerusi USB-A. Oleh itu untuk melakukan sambungan kepada telefon atau tablet Android, pengguna perlu menggunakan sebuah penyesuai. Wacom One sudah mula dijual pada harga $399.95 (~RM1640).