Carian
Panasonic & Technics Hadir Dengan Tiga TWS Tersendiri Yang Menyokong Pembatalan Hingar Aktif
January 7, 2020 Fahim Zahar

Set fon telinga nirwayar sebenar atau TWS menjadi trend yang hangat. Tahun lepas jenama paling premium yang bagus adalah dari Sony WF-1000XM3 dan Apple AirPods Pro. Di CES tahun ini, lebih banyak syarikat hadir dengan produk yang lebih kurang sama – antaranya adalah Panasonic dan Technics.

Panasonic hadir dengan dua jenis TWS, RZ-S500W dan RZ-S300W. Panasonic mendakwa yang teknologi pembatalan hingar yang digunakan adalah antara yang terbaik dalam industri. Kedua-dua TWS ini hadir dengan teknologi tambatan Bluetooth yang sangat stabil, antena dan sensor kawalan sesentuh dalam satu bahagian yang sama dan menjanjikan kualiti audio yang setara untuk kiri dan kanan. Ia juga hadir dengan mod Ambient iaitu seakan mod Transparency pada Apple AirPods. Untuk perlindungan IPX4 digunakan dan pengguna turut boleh membuat kawalan tambahan melalui aplikasi Panasonic Audio Connect. Hanya untuk RZ-S500W, ia menyertakan sokongan dwi-pembatalan hingar aktif yang menggunakan FeedForward Noise Cancelling (FF-NC), Feedback Noise Cancelling (FB-NC) dan Analog/Digital Processing hybrid.

Technics pula hadir dengan TWS EAH-AZ70W. TWS ini menggunakan teknologi yang lebih kurang sama dengan Panasonic RZ-S500W, iaitu dwi-pembatalan hingar aktif. Ia juga menggunakan pemacu dinamik yang menggunakan lapisan graphene PEEK 10mm bersama-sama ruang kawalan akustik. Lain-lain ciri adalah lebih kurang sama sahaja dengan RZ-S500W, cuma Technics mendakwa bateri mampu bertahan selama 6 jam secara berterusan dan 18 jam berserta pod pengecasan. Pengguna juga boleh menggunakan aplikasi Technics Audio Connect untuk kawalan tambahan.

Komen