Harmon Kardon kini adalah syarikat yang dimiliki oleh Samsung. Syarikat ini adalah syarikat yang pakar dalam menghasilkan pelbagai barangan audio, termasuk aksesori audio. Malah, set fon telinga yang disertakan dalam kotak peranti Samsung Galaxy juga telah dioptimasikan oleh Harmon Kardon.
Terkini di CES 2020, Harmon Kardon telah memperkenalkan aksesori-aksesori audio baharu dalam siri Fly. Kali terakhir mereka melancarkan aksesori seperti ini adalah pada tahun 2014. Produk-produk yang mereka perkenalkan ini adalah FLY BT (Bluetooth), FLY TWS (nirwayar sebenar) dan FLY ANC (pembatalan hingar aktif). FLY BT adalah set fon telinga nirwayar jenis neckband, ia menggunakan profil audio Harmon Kardon tersendiri dengan pemacu audio 8.6mm dan menjanjikan jangka hayat bateri 8 jam. Pada bahagian fon telinga, terdapat magnet terbina dan wayarnya adalah dari fabrik untuk memastikan wayar tidak mudah tergulung.
FLY TWS pula adalah set fon telinga sebenar tersendiri dari Harmon Kardon. Ia hadir dengan kawalan sesentuh, menyeru pembantu digital, fungsi TalkThru untuk memudahkan pengguna dengar perkara yang berlaku disekeliling atau mudah bercakap dengan orang lain, memfokuskan kualiti panggilan telefon yang jelas, tahan pelbagai percikan atau cuaca dan juga menyokong pengasingan bunyi ambient. Untuk bateri, ia mampu bertahan selama 15 jam dan turut menyokong pengecasan pantas bagi memudahkan lagi urusan pengguna.
Akhir sekali adalah FLY ANC. Ia adalah set fon kepala dan mungkin akan menjadi pesaing kepada Sony WH-1000XM3. Seperti nama produk itu sendiri, ia menyokong ANC iaitu pembatalan hingar aktif. Pemacu audio yang digunakan pula adalah 40mm, sokongan tambatan ke dua peranti untuk memudahkan pengguna, menyokong pengecasan pantas, dan menyeru pembantu digital. Kemudian bateri pula bertahan selama 20 jam lamanya. Lebih menarik dan benar-benar cuba mengikut jejal langkah Sony – FLY ANC juga boleh dikawal menggunakan aplikasi Harmon Kardon untuk pengguna membuat pelbagai tetapan.
Kesemua siri aksesori audio Harmon Kardon FLY akan mula dijual pada musim sejuk tahun 2020. Ketika itu, harga dan di mana boleh dibeli baru Harmon Kardon akan umumkan.