Carian
Imej Pengolokan Xperia 5 Plus Tertiris – Bicu Audio 3.5mm Kekal & Bezel Lebih Nipis
January 7, 2020 Fahim Zahar

Tahun lepas, Sony telah melancarkan Xperia 5. Ia adalah peranti mercu Sony yang lebih kecil dari Xperia 1. Harga jualan di Malaysia pula adalah RM3,399 dan ia tidak mendapat sambutan yang baik seperti peranti-peranti lain.

Terkini, imej pengolokan Xperia 5 Plus telah tertiris. Ia adalah variasi yang lebih besar dari Xperia 5. Skrin dikatakan adalah 6.6-inci, berbeza dengan Xperia 5 yang hanya menggunakan skrin 6.1-inci. Sudah tentu nisbah skrin memanjang 21:9 akan dikekalkan, serta rekaan segi empat yang menarik. Berdasarkan imej pengolokan yang tertiris ini, bezel peranti dilihat adalah lebih nipis dan bahagian dahi/dagu walaupun tebal jika dibandingkan dengan peranti pesaing – ia adalah lebih nipis dari peranti Xperia yang sebelumnya. Ini adalah kerana, Sony mungkin akan sertakan pembesar suara stereo menghadap ke hadapan. Menjadikan peranti lebih menarik adalah, Sony mengekalkan port bicu audio 3.5mm.

Kamera swafoto dikatakan adalah 8MP, manakala kamera utama adalah sistem kuad-lensa dengan sokongan lensa sudut ultra lebar, sensor ToF, dan juga lensa telefoto. Peranti ini dijangka akan dijana Snapdragon 865 dan mungkin akan dilancarkan pada MWC Barcelona 2020 seperti peranti Xperia sebelum ini.

Komen