JBL Memperlihatkan 6 Aksesori Audio Baharu, Termasuk Soundbar Dengan Sokongan Dolby Atmos & Chromecast

JBL Memperlihatkan 6 Aksesori Audio Baharu, Termasuk Soundbar Dengan Sokongan Dolby Atmos & Chromecast

Diterbitkan pada Jan 7, 2020 oleh .

Seperti Harmon Kardon, JBL juga adalah syarikat yang dimiliki oleh Samsung. Tetapi Samsung setakat ini memilih Harmon Kardon sebagai syarikat yang mengoptimasikan beberapa produk audio mereka. Tetapi, itu tidak menghalang JBL untuk terus hadir dengan produk-produk mereka yang tersendiri. Terkini di CES 2020, JBL telah hadir dengan enam produk audio baharu.

Dua yang pertama adalah set fon telinga nirwayar sebenar, TWS – JBL Live 300TWS dan JBL TUNE 220TWS. JBL Live 300TWS hadir dengan dua mikrofon, ketahanan bateri sehingga 20 jam dengan pod pengecasan, Sokongan Ambient Aware & TalkThru untuk mengedapkan audio yang sedang bermain agar masih boleh fokus apa yang berlaku disekeliling dan juga kemampuan menyeru pembantu digital. Ia juga mempunyai perlindungan kalis air IPX5 dan dijual pada harga sekitar RM614. JBL TUNE 220TWS pula, memfokuskan harga jualan yang lebih murah, iaitu sekitar RM409, pemacu audio 12.5mm dengan teknologi JBL Pure Bass Sound, bateri yang sedikit lemah iaitu 19 jam sahaja dengan pod pengecasan dan semestinya menyokong seruan pembantu digital.

Produk seterusnya adalah JBL Club One, CLUB 950NC dan CLUB 700BT. Ia adalah set fon kepala nirwayar dengan fokus yang tersendiri. Kesemua ini dikatakan adalah set fon kepala dengan kualiti profesional, tetapi diubah agar sesuai untuk kegunaan orang ramai. Kesemua set fon kepala ini mempunyai fungsi ciri yang hampir sama, tetapi masing-masing ada kelebihan dan kekurangan masing-masing – mengikut cita rasa pengguna dan kemampuan untuk membeli. Berikut adalah jadual perbezaan yang JBL berikan;

JBL CLUB ONE dan JBL CLUB 950NC hadir dengan kerangka premium diperbuat dari kulit, manakala JBL CLUB 700BT pula hadir dengan kerangka pelindung biasa. Kesemua set fon kepala ini JBL sertakan sekali kabel audio 1.2m, terdapat mikrofon terbina dan engsel besi bagi menjamin ketahanan yang lebih lama. Harga adalah sekitar RM614 (700BT), RM1023 (950NC) dan RM1432 (ONE).

Akhir sekali adalah soundbar JBL Bar 9.1. Menarik dengan produk ini adalah, ia mempunyai dua pembesar suara nirwayar terbina yang boleh ditanggalkan dan berfungsi dengan bateri sahaja. JBL turut sertakan subwoofer nirwayar dan produk ini diiktiraf oleh Dolby Atmos. Untuk memudahkan pengguna yang gemar menstrim, ia hadir dengan Chromecast terbina – jadi pengguna yang masih menggunakan televisyen dungu boleh mengubahnya menjadi pintar. Oh ya, selain Chromecast ia juga menyokong AirPlay untuk para pengguna Apple. Harga jualan adalah sekitar RM4093.



TIPS & ULASAN