Cari @ Amanz

Era 5G semakin dekat, dimana pelbagai syarikat telekomunikasi di seluruh negara, dan juga syarikat-syarikat peranti sudahpun mula menunjukkan kebolehan rangkaian tersebut untuk membentuk semula cara kita berkomunikasi diantara satu sama lain.

Di acara CES 2020, MSI telah memperkenalkan sebuah komputer desktop gaming baru yang dinamakan MSI MEG Aegis TI5. Komputer ini bukan sahaja hadir dengan rekaan dan spesifikasi yang padat, agresif dan berkuasa, tetapi juga boleh dikatakan komputer gaming pertama yang hadir dengan sokongan 5G.

Bermula dengan spesifikasi dalaman komputer ini, MSI mengatakan bahawa ia akan dikuasakan oleh CPU Intel Core generasi kesepuluh, hadir dengan sokongan untuk memori DDR4 sehingga 128GB, dan juga mempunyai ruang yang mencukupi untuk tiga storan SSD NVMe, disamping tambahan dua storan SSD SATA jika diperlukan.

Dari segi pilihan kad grafik, Aegis TI5 ini akan dilengkapi dengan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX, dan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti boleh dimuatkan didalam komputer ini.

Rekaan komputer Aegis TI5 ini boleh dikatakan agak unik kerana selain daripada rekaan rangka yang serba padat, ia juga hadir dengan beberapa ciri baru. Salah satu ciri utama yang diperkenalkan pada komputer ini ialah tombol HMI, ataupun Human-Machine Interface.

Tombol ini digabungkan dengan sebuah panel LED dimana pengguna boleh melihat suhu komponen, kelajuan CPU/GPU, mengubahsuai tetapan Mystic Light dan juga membuka permainan-permainan kegemaran pengguna secara terus tanpa perlu menggunakan perisian pengantara seperti Steam dan sebagainya.

Selain daripada itu, seperti yang kami katakan sebelum ini, komputer Aegis TI5 ini juga hadir dengan sokongan untuk rangkaian 5G. Buat masa ini, sokongan tersebut hadir melalui sebuah modem dan kad SIM 5G, tetapi apabila komputer ini akan dilancarkan kelak, cara ia disambungkan ke rangkaian tersebut mungkin akan ditukar.

Sama seperti pengumuman komputer-komputer riba sebelum ini, MSI tidak memberi sebarang kepastian bilakah ia akan tiba di pasaran, tetapi menjangkakan ia akan tiba sekitar suku kedua atau ketiga tahun ini juga.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd