Hari ini di acara CES 2020, OnePlus akhirnya memperlihatkan peranti konsep mereka – OnePlus Concept One. Namanya mirip OnePlus One, kerana ia adalah pertama dari OnePlus untuk sebuah peranti konsep. Seperti yang mereka acah sebelum ini, peranti ini hadir dengan sistem Kamera yang tersembunyi, tetapi apakah ia?
Pada peranti ini, tiada bonjol kamera pada bahagian belakang dan ianya adalah rata. Kamera pula tidak kelihatan, kerana ia tersembunyi di bawah panel kaca baharu. Kaca yang digunakan adalah kaca elektrokromik yang memerlukan tenaga elektrik untuk “menyembunyikan” lensa-lensa kamera. Ia mengubah dari kaca legap ke kaca lutsinar apabila aplikasi kamera dibuka. Menurut OnePlus, perubahan dari legap ke lutsinar hanya 0.7 saat yang mana adalah paling pantas setakat ini untuk teknologi seperti ini. Teknologi ini digunakan dalam kereta McLaren pada bahagian atap kereta. Jujur saya katakan, ia adalah gimik semata-mata dan langsung tidak patut dihasilkan oleh OnePlus. Apa tujuannya?
Kemudian, peranti ini dikategorikan sebagai peranti paling premium. Ini kerana bingkai peranti telah disaluti dengan emas sebenar. Kemudian, pada panel belakang ia bukan lagi kaca secara keseluruhan – sebaliknya menggabungkan kaca dan kulit. Warna kulit ini adalah Papaya Orange. Ya, ia adalah salah satu dari peranti OnePlus edisi McLaren. Bukan pertama kali sesebuah syarikat hadir dengan peranti seperti ini, Huawei telah pun memperlihatkan rekaan seperti ini melalui peranti Mate versi Porsche.
Seterusnya, OnePlus juga telah menambah satu fungsi pada kamera mereka. Fungsi ini adalah penuras ND. Ia adalah penuras untuk menapis jumlah cahaya yang lensa boleh rakam. Pada peranti ini, ia hanya boleh diakses melalui mod Pro sahaja. Penuras ini juga bukan dari segi perisian, sebaliknya kaca elektrokromik tadi juga berfungsi sebagai penuras ND fizikal buat peranti ini.
Paling mengecewakan adalah, peranti ini bukan peranti OnePlus yang baharu. Ia adalah OnePlus 7T Pro atau mungkin 7T Pro McLaren Edition yang telah diubahsuai. Ini bermakna, peranti ini dijana dengan Snapdragon 855+ dan bukannya Snapdragon 865.
Buat masa ini, OnePlus mungkin cuba bina satu hype baharu. Namun, daripada apa yang saya lihat – peranti konsep ini adalah satu hasil yang sia-sia. Pertama, OnePlus seperti tiada arah tuju. Kedua, tiada lagi rekaan asli kerana konsep rekaan adalah dari Huawei. Ketiga, OnePlus cuba ingin menjadi peranti premium – namun mungkin akan gagal kerana saya pastu peranti seperti OnePlus Concept One ini akan tidak menyokong pengecasan nirwayar dan perlindungan IP68. Jadi, ia tidak layak untuk menjadi peranti mercu sebenar. Apa kata anda?