Cari @ Amanz

TicPods adalah TWS daripada Mobvoi. Ketika ia mula dijual, terdapat dua versi berbeza – iaitu China dan Global. Versi China menggunakan Bluetooth 4.1, manakala versi Global adalah Bluetooth 4.2. Masalah TicPods lama adalah masa pendam yang tidak konsisten. Kualiti audio adalah baik-baik sahaja dan memuaskan. Terkini, dengan trend TWS semakin hangat dan menjadi-jadi – Mobvoi hadir dengan TWS generasi kedua TicPods 2.

Terdapat dua jenis, versi biasa dan Pro. Kedua-dua TicPods 2 ini menyokong Qualcomm aptX, Bluetooth 5.0, perlindungan kalis percikan IPX4, USB-C, pengecasan pantas dan ketahanan bateri sehingga 20/23 jam dengan pod pengecasan.Kedua-duanya juga menyokong tambatan pantas untuk semua peranti. TicPods 2 menyokong kawalan gestur sentuhan pada tangkai fon telinga dan pembatalan hingar satu mikrofon untuk kualiti audio yang lebih baik dan panggilan telefon yang lebih jelas. Pada TicPods 2 Pro, pembatalan hingar adalah dari dwi-mikrofon dan ia mempunyai beberapa fungsi unik dan menarik yang akan saya jelaskan di perenggan di bawah.

Hanya pada TicPods 2 Pro, ia bukan sahaja ada kawalan gestur sentuhan. Tetapi turut mempunyai kawalan gestur kepala. Pengguna boleh mengangguk untuk menjawab panggilan telefon, atau menggeleng untuk membatalkan panggilan telefon. Mobvoi turut memperkenalkan TicHear, iaitu kawalan suara “Hey, Tico” untuk mengawal pembantu digital terbina pada peranti. Ia juga menyokong arahan suara pantas, “Play Music”, “Pause Music”, “Next Song” dan banyak lagi tanpa perlu menyebut “Hey, Tico”.

Pemacu audio yang digunakan adalah 13mm jenis lingkaran yang bergerak, cip Qualcomm QCC5121 pada TicPods 2 Pro dan Qualcomm QCC3026 pada TicPods 2. Saiznya juga adalah kecil dan padat agar mudah disimpan di mana-mana. Rekaan pod pengecasan adalah lebih kurang sama dengan generasi pertama, tetapi pada fon telinga rekaannya dihasilkan agar lebih kemas dan ringkas.

Harga jualan untuk TicPods 2 adalah $89.99, iaitu sekitar RM369. Manakala TicPods 2 Pro pula adalah $125.99, iaitu sekitar RM517. Bagi yang berminat Mobvoi sudah pun memulakan pra-tempahan dan bagi yang menempah pengguna akan menerima 10% diskaun. Bukan itu sahaja, Mobvoi juga boleh menghantar produk yang ditempah terus ke Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd