Cari @ Amanz

Di dalam dunia speaker pintar, Google kini di tempat kedua di belakang Amazon. Bagi memberikan saingan kepada Amazon memperkenalkan pelbagai fungsi menarik bagi menarik minat pengguna. Tetapi menurut Sonos, Google telah mencuri pelbagai teknologi speaker pintar milik mereka.

Sonos telah memfailkan dua saman ke atas Google kerana menggunakan lima paten untuk teknologi untuk speaker nirwayar tanpa kebenaran. Selain itu mereka ingin jualan komputer riba, telefon pintar dan speaker pintar Google diharamkan di Amerika Syarikat selepas melakukan aduan kepada ITC.

Google didakwa mencuri teknologi perkongsian audio multi-bilik Sonos selepas kedua-dua syarikat bekerjasama pada tahun 2013. Ini adalah bagi menyokong Google Play Music pada speaker Sonos. Teknologi ini menurut Sonos kemudian dicuri untuk digunakan pada Chromecast Audio. Google didakwa terus menggunakan teknologi ini secara haram walaupun telah diberikan amaran sebanyak dua kali pada tahun 2016 dan 2018 oleh Sonos.

Turut didakwa mencuri teknologi yang sama ialah Amazon tetapi pada waktu ini tumpuan hanya diberikan kepada Google. Google dan Amazon telah mengeluarkan kenyataan menafikan pihak mereka menggunakan teknologi milik Sonos tanpa kebenaran.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd