Carian
Nikon D780 Dilancarkan – Kini Dengan Sokongan USB-C
January 8, 2020 Effi Saharudin

Nikon D750 adalah antara kamera DSLR yang paling popular di pasaran terutamanya di kalangan jurugambar perkahwinan. Ia masih digunakan walaupun dilancarkan pada tahun 2014. Bagi pengguna D750 yang ingin mencari kamera DLSR bingkai penuh baharu, Nikon D780 telah dilancarkan minggu ini dengan beberapa penambahbaikan,

Nikon D780 dilengkapi sensor 24.5 Megapixel BSI bingkai penuh (FX-Format) CMOS yang hanya sedikit lebih besar berbanding 24.3 Megapixel pada D750. Cip pemproses yang digunakan pula ialah EXPEED 6 yang lebih berkuasa dan pantas bagi memberikan kemampuan fotografi malam yang lebih baik. Ini ialah cip yang sama seperti yang digunakan pada kamera nircermin Nikon Z 6 dan Z7. Kemampuan ISO meningkat ke 51,200 tetapi bole dikembangkan ke 204,800.

Kamera digital ini boleh mengambil sehingga 7 bingkai sesaat apabila menggunakan pengatup fizikal atau sehingga 12 bingkai sesaat apabila menggunakan pengatup elektronik. Kemampuan rakaman video pula hanya sekadar 4K 30FPS atau 1080P 120FPS. Bateri yang digunakan mampu memberikan tangkapan 2260 gambar sebelum perlu dicas. Pengecasan dan pemindahan kini dilakukan menggunakan port USB-C (USB 3.1 Gen 1).

Terdapat dua slot untuk kad memori, bicu mikrofon, bicu fon kepala dan HDMI mini. Skrin LCD sesentuh sebesar 3.2″ pada panel belakang boleh diputar ke atas.

Nikon 780 akan mula dijual pada penghujung Januari pada harga $2,299.95 (~RM9433) untuk tubuh sahaja atau $2,799.95 (~RM11,463) dengan lensa AF-S NIKKOR 24-120mm f/4G ED VR.

Komen