Carian
Philips Memperkenalkan TV Pintar Android TV Dengan Mod Gaming Untuk Stadia
January 8, 2020 Fahim Zahar

Di acara CES 2020, seperti biasa pelbagai barangan elektronik, teknologi, produk-produk pintar diperlihatkan. Antara yang popular di acara ini adalah pameran televisyen-televisyen atau paparan. Philips juga tahun ini menyertai CES 2020 dan mereka telah memperlihatkan televisyen pintar yang unik.

Philips telah memperlihatkan televisyen 4K dalam siri Philips 5905. Televisyen ini adalah televisyen pintar Android TV dan hadir dalam dua saiz 43-inci dan 75-inci. Tetapi televisyen ini bukan televisyen pintar Android TV yang biasa, ia adalah yang pertama hadir dengan mod gaming. Ya, sebuah televisyen pintar dengan mod gaming dalam Android TV. Menurut Philips, televisyen ini memfokuskan untuk digunakan bersama-sama dengan konsol-konsol dan juga Google Stadia. Melalui mod gaming ini, ia akan mengurangkan masa pendam sebanyak 50% berbanding dengan Android TV sebelumnya. Setiap televisyen ini juga akan hadir dengan alat kawalan jauh dengan butang seruan Google Assistant.

Philips juga kelak akan melancarkan televisyen baharu dalam siri-6 mereka. Ia hadir dengan Google Assistant terbina pada TV untuk seruan Google Assistant tanpa alat kawalan jauh. Ia dikatakan akan berfungsi seakan paparan pintar, tetapi dalam bentuk televisyen. Akhir sekali, Philips juga akan hadir dengan televisyen 4K OLED Android TV dengan teknologi Ambilight terbina. Ia akan memancar lampu LED ambient pada setiap sisi TV untuk memberi pengalaman menonton lebih baik. Televisyen ini juga akan menyokong Dolby Atmos, Dolby Vision, HDR10+ dan juga HDR10.

Komen