Carian
TCL Turut Hadir Dengan Aksesori Audio – TWS SOCL, ACTV & Set Fon Telinga Dengan Pengimbas Nadi
January 9, 2020 Fahim Zahar

Di CES 2020, banyak syarikat telah hadir dengan pelbagai produk-produk audio. Lebih-lebih lagi jenis TWS. Kira sudah lihat Harmon Kardon, JBL, dan dan banyak lagi. Kini giliran TCL pula.

TCL sebenarnya sudah lama juga berkecimpung dalam arena audio, cuma pasaran produk mereka terhad. Kini dengan trend TWS yang menjadi-jadi, mereka telah hadir dengan siri TWS SOCL & ACTV. Kedua-dua TWS ini memfokuskan rekaan yang ergonomik, ketahanan bateri yang baik serta kualiti audio yang memuaskan. TCL menggunakan teknologi antena tersendiri, bagi memastikan tambatan Bluetooth kekal stabil.

Kedua-dua TWS ini juga mempunyai rekaan tiub bujur akustik bagi memastikan keselesaan dan aliran audio yang baik. Terdapat juga getah lembut melindungi keliling setiap fon telinga bagi memastikan ketahanan.

ACTV500TWS mempunyai gabus memori Comply yang akan mengenalpasti bentuk telinga pengguna. Di dalamnya, pemacu audio 6mm telah digunakan. TCL menjanjikan kualiti audio bass yang lebih dalam dan mid/high yang jelas. Bateri mampu bertahan selama 6.5 jam secara berterusan, 33 jam dengan pod pengecasan dan 1 jam ketahanan jika dicas 15 minit. Perlindungan yang disertakan adalah IPX7 dan dijual pada harga sekitar RM409.

SOCL500TWS pula dilihat lebih memfokuskan gaya hidup. Ketahanan bateri adalah sama 6.5 jam, tetapi dengan pod pengecasan ia hanya mampu bertahan selama 26 jam. Pemacu audio yang digunakan adalah 5.8mm dengan jaminan kualiti audio yang tepat dan seimbang. Pod pengecasannya pula menggunakan rekaan semi-lutsinar dengan pelbagai pilihan warna cerun. Untuk perlindungan, hanya IPX4 sahaja yang disertakan. Harga jualan pula adalah sekitar RM327.

Akhir sekali, TCL turut memperkenalkan set fon telinga nirwayar jenis neckband dengan pengimbas nadi terbina. Set fon telinga nirwayar ini berada dalam siri ACTV melalui model ACTV200BT. Menurut TCL, mereka menggunakan sensor nir-sentuh ActivHearts yang terletak dalam tiub akustik. Ia adalah dwi-sensor yang membolehkan bacaan nadi serta mengoptimasikan lagi senaman. Ia juga hadir dengan tindak balas audio, bukan seperti penjejak kesihatan lain yang menggunakan getaran. Pemacu audio adalah 8.6mm dengan jaminan kualiti audio yang tepat dan seimbang. Turut mempunyai perlindungan kalis percikan IPX4, mekanisma kabel boleh laras dan tambatan kepada pelbagai aplikasi memantau kesihatan. Model ini masih tiada harga lagi, ia akan diumumkan kelak.

Komen