Cari @ Amanz

Spotify adalah platform penstriman muzik yang terkenal. Kemudian dengan trend penstriman podcast, Spotify turut memperkenalkan kemampuan untuk menstrim pelbagai podcast. Terkini, Spotify akan memasukkan iklan dalam kandungan podcast eksklusif mereka. Ya, iklan ini akan dimasukkan dalam kandungan podcast, ini bermakna jika anda sedang mendengar podcast dari Spotify – contohnya minit kesepuluh pengalaman pendengaran anda akan terganggu seketika dengan iklan.

Menurut Spotify, mereka akan menggunakan pelbagai data pengguna untuk menentukan iklan apa yang sesuai untuk dimasukkan dalam podcast ini. Ini bermakna, jika anda sedang mendengar podcast Amanz misal kata – pengguna A akan mendengar iklan lain dan pengguna B pula akan mendengar iklan yang lain. Spotify akan menggunakan teknologi baru yang mereka bangunkan, iaitu Spotify Ad Insertion (SAI). Data pengguna yang Spotify akan gunakan adalah seperti umur, jantina, peranti yang sedang digunakan, dan tingkah laku pendengaran.

Perkara ini diumumkan kerana Spotify ingin menawarkan peluang membuat iklan dengan mereka kepada pelbagai jenama. Melalui SAI, jenama yang membuat iklan akan menerima hasil yang lebih memuaskan, frekuensi iklan yang lebih baik dan penyampaian iklan yang baik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd