Cari @ Amanz

Nampaknya tahun ini kita akan menjadi lebih keliru. Kenapa? Kerana akan terdapat terlampau banyak TWS yang dilancarkan dengan pelbagai harga berbeza dan kualiti berbeza. Amazfit yang sedia terkenal dengan jam tangan pintar dan penjejak kesihatan, kini telah hadir dengan TWS tersendiri. Di samping itu, mereka juga hadir dengan alat bantuan tidur untuk menghalang bunyi bising dan memastikan pengguna boleh tidur dengan nyenyak.

Untuk TWS, mereka telah hadir dengan Amazfit PowerBuds. Ia adalah TWS yang memfokuskan kecergasan sepenuhnya, kerana ia hadir dengan pengimbas nadi terbina. Kemudian untuk menambah cengkaman, TWS ini hadir dengan penyangkut dengan magnet terbina, permukaan fon telinga juga diperbuat dari bahan yang lembut dan selesa apabila berada di dalam telinga. Ketahanan bateri pula adalah selama 8 jam secara terus dan 16 jam tambahan dengan pod pengecasan. Ia juga menyokong pengecasan pantas dengan 15 minit cas bertahan selama 3 jam. Untuk perlindungan, ia hadir degan sokonganIPX5. Seperti kebanyakan TWS, PowerBuds juga hadir dengan sokongan kawalan gestur sentuhan. Untuk kualiti audio, Amazfit mendakwa ia mempunyai kualiti yang imersif dan dinamik, mempunyai mod Motion Beat yang boleh mengikut rentak pengguna bersukan, notifikasi secara langsung untuk degupan jantung yang bermasalah, dan pembatalan hingar untuk panggilan telefon.

Alat bantuan tidur mereka pula adalah Amazfit ZenBuds. Ia mempunyai rekaan seperti sepasang TWS, tetapi direka agar sesuai dipakai semasa ingin tidur. ZenBuds akan menghalang segala bunyi bising dan membatalkan hingar sambil memainkan bunyi yang menenangkan. Ia juga direka dengan rekaan yang ringkas dan amat ringan. Menurut Amazfit, ia adalah tiga kali lebih ringan dari AirPods Pro. ZenBuds juga mempunyai pemantauan terbina untuk memastikan jumlah tidur pengguna adalah cukup dan sihat. Penggera turut terbina, agar apabila penggera ditetapkan hanya yang memakai ZenBuds sahaja akan mendengarnya dan tidak mengganggu orang lain. Bateri bertahan selama 8 jam, dan bertahan sehingga 56 jam dengan pod pengecasan.

Amazfit PowerBuds akan dijual pada harga $99.99 (~RM408). Manakala Amazfit ZenBuds masih belum diumumkan lagi harganya. Amazfit akan menjual PowerBuds terlebih dahulu, sekitar Februari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd