Mencuba Boost – Lagi Satu Dompet Digital Nirtunai Dibawah Program eTunai

Mencuba Boost – Lagi Satu Dompet Digital Nirtunai Dibawah Program eTunai

Diterbitkan pada Jan 14, 2020 oleh .

Semasa Belanjawan 2020, kerajaan telah memperuntukkan RM450 juta yang akan diagihkan melalui beberapa dompet digital terpilih. Seorang pengguna akan menerima sebanyak RM30 dan pengguna yang layak adalah mereka yang mempunyai pendapatan sebanyak RM100,000 setahun dan berusia lebih dari 18 tahun.

Touch n Go eWallet, Boost dan juga GrabPay adalah tiga dompet digital yang terpilih. Sebelum ini telah pun kami kongsi pengalaman penggunaan kami dengan GrabPay. Dalam artikel ini, akan kami kongsi pula pengalaman penggunaan Boost.

Boost tidak dinafikan popularitinya. Banyak sudah kedai menyokongnya, pelbagai kerjasama dengan pelbagai jenama untuk pulangan tunai, boleh membuat bayaran bil, tambah nilai, menempah makanan, pelbagai tiket pengangkutan awam, belian tiket wayang, bayar parking dan banyak lagi.

Tambah Nilai & Terima Ganjaran

Saya masih ingat lagi, sejak Boost tiba ke Malaysia secara rasmi – ia popular kerana aplikasi ini boleh membeli kredit tambah nilai dan kemudian terus menerima pulangan tunai. Tetapi, Boost kemudian telah mengubah sistem pulangan tunai mereka menjadi ganjaran dalam bentuk Boost Coin. Pengguna perlu mengumpul Boost Coin dan baru boleh menebus dalam bentuk tunai, tambah nilai, atau juga iPhone 11.

Syarikat telekomunikasi yang boleh anda beli kredit tambah nilai adalah; Hotlink, Xpax, UMobile, Digi, XOX, Tune Talk & Altel. Untuk Yoodo, anda perlu menggunakan aplikasi Yoodo terlebih dahulu dan kemudian baru boleh anda bayar dengan Boost. Ganjaran Boost Coin yang akan anda terima adalah secara rawak. Anda mungkin boleh terima 1 Coin sahaja, atau jika ada rezeki ia boleh mencapai sehingga ribuan coin.

Bayaran Bil Ultiliti & Pinjaman

Siapa sangka, satu perkhidmatan dompet digital membenarkan anda untuk membayar hutang dengan mudah. Ya, melalui Boost anda boleh bayar hutang PTPTN. Bayaran yang boleh anda lakukan adalah Konvensional, Ujrah, SSPN-i atau juga SSPN-i Plus. Apa yang menarik adalah, anda tetap akan menerima ganjaran untuk setiap transaksi ini.

Sudahlah anda membayar hutang, anda akan terima pula kembali wang anda dalam bentuk coin yang anda boleh tebus ke tunai bila-bila masa sahaja.

Selain daripada PTPTN, anda juga boleh membayar hutang Courts dengan mudah. Anda hanya perlu tambahkan nombor akaun anda dan terus membuat bayaran. Tidak lupa juga yang pelbagai bil ultiliti boleh anda bayar melalui Boost; Sarawak Energy, Syarikat Air Melaka, Syarikat Air Johor, Syarikat Air Negeri Sembilan, bayaran bil UMobile/Celcom/Yes/Unifi/Red One/Unifi Mobile, bil Astro, dan banyak lagi.

Tiket Pengangkutan Awam & Bayar Parkir

Dengan Boost juga, anda boleh jimat duit berkali ganda dengan setiap pembelian tiket pengangkutan awam. Tiket-tiket yang boleh anda beli adalah KLIA Ekspres, Catch That Bus, redBus dan tiket feri.

Untuk bayaran parkir pula, terdapat dua pilihan sama ada tepi jalan atau berpagar. Untuk tepi jalan, kebanyakan kawasan adalah yang dijaga oleh majlis perbandaran. Untuk berpagar pula adalah melalui kod QR yang dijana melalui aplikasi Boost. Kemudian anda perlu imbas kod QR itu di pagar tempat parkir.

Sama seperti semua tambah nilai, ganjaran Boost coin akan anda terima.

Hiburan Tanpa Henti Dengan Ganjaran

Jika anda adalah seorang kaki wayang, kaki strim atau gemar mendengar muzik – aplikasi Boost ini amat sesuai untuk anda. Ini kerana, melalui Boost anda boleh langgan Viu, Apple Music dan juga membeli pelbagai kredit untuk permainan video dengan mudah.

Untuk Viu, langganan lebih satu bulan ditawarkan dengan harga diskaun. Kemudian, anda akan kekal menerima ganjaran. Misalnya, langganan 1 tahun adalah RM120. Tetapi dengan Boost anda boleh dapatkan dengan harga hanya RM88. Untuk Apple Music, tiga bulan percubaan langganan ditawarkan. Bagi pengguna Apple, ini adalah peluang anda.

Antara kredit permainan yang ditawarkan adalah Steam, Razer Gold, Garena, PlayStation, MyCard dab PUBG Mobile. Selain itu, tambah nilai dalam permainan juga ditawarkan seperti Mobile Legends, Ragnarok Mobile, Bleach 3D dan banyak lagi. Antara yang terkini adalah Call of Duty Mobile.

Paling menarik yang saya gemar adalah belian tiket wayang. Boost menawarkan belian tiket melalui WETIX. Kekurangannya adalah, anda tidak akan menerima ganjaran ahli untuk setiap panggung. Kerana ia adalah perkhidmatan belian tiket dari pihak ketiga dan anda hanya akan terima ganjaran dari Boost yang kecil sahaja. Namun, sehingga 31 Mac Boost menawarkan pulangan tunai 50% untuk GSC, MBO dan MMC.

Tabung Digital

Jika anda tidak berminat dengan belian kredit, tiket wayang atau tiket-tiket pengangkutan awam. Anda boleh sahaja anggap Boost ini sebagai tabung digital. Ia adalah tabung yang mana anda simpan duit untuk membayar komitmen-komitmen yang anda perlu uruskan. Kemudian jika anda ingin memberi ibu atau ayah anda wang bulanan, melalui Boost anda juga boleh membuat pindahan duit dengan mudah.

Konklusi

Boost tidak dinafikan adalah dompet digital yang baik. Ia bersaing dengan GrabPay dan Touch n Go eWallet. Masing-masing ada kelebihan tersendiri dengan fokus yang tertentu. Misalnya jika anda kerap menggunakan RFID, Touch n Go adalah lebih sesuai. Manakala jika anda gunakan Grab untuk menempah kenderaan, GrabPay adalah pilihan bijak. Boost pula adalah untuk kegunaan kasual, yang hampir semua Toucn n Go dan Grab tawarkan disatukan dalam satu aplikasi.

Pada masa yang sama, penawaran mata ganjaran secara rawak turut memberikan kelebihan untuk dompet digital ini.

Tetapi dalam dunia tiada yang 100% sempurna – seperti prestasi aplikasi boleh lagi dioptimasikan (kerana kerap membeku), antaramuka dalam kemaskini terkini sedikit serabut dan boleh disusun lagi, dan proses menerima ganjaran yang lebih menarik (goncang peranti untuk menerima ganjaran seperti gimik). Bagipengguna Boost, apa kata anda? Adakah anda akan menebus kredit RM30 program eTunai ke dompet digital ini atau akan memilih dompet digital lain?


TIPS & ULASAN