Cari @ Amanz

Semalam imej sebenar Samsung Galasy S20+ telah tertiris beberapa minggu lebih awal sebelum pelancaran rasminya. Imej sebenar ini mengesahkan rekaan yang sebelum ini tertiris menerusi imej pengolokan rasmi seperti bonjol kamera yang amat besar berbanding model terdahulu.

Pagi ini kemampuan kameranya pula tertiris menerusi laman XDA Developer yang mendapat akses awal peranti ini. Aplikasi kamera menyokong rakaman video pada resolusi tertinggi 8K 30FPS. Turut disokong ialah 4K 60FPS pada kamera hadapan serta belakang dan 4K 60FPS HDR.

Selain itu fungsi Smart Selfie Angle akan berubah ke lensa sudut ultra-lebar apabila mengesan terdapat lebih dari satu individu. Ini adalah fungsi automatik yang sebelum ni ditemui pada iPhone 11. Seperti biasa misteri mengenai peranti akan semakin banyak tertiris semakin hampir kita ke acara pelancaran pada 11 Februari kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd