Google Akan Menamatkan Sokongan Chrome Apps Untuk Windows, Mac Dan Linux Pada Tahun 2020 Ini

Google Akan Menamatkan Sokongan Chrome Apps Untuk Windows, Mac Dan Linux Pada Tahun 2020 Ini

Diterbitkan pada Jan 16, 2020 oleh .

Google hari ini telah berkongsi kemaskini berkaitan dengan perancangan mereka untuk Chrome Apps. Melalui apa yang dikongsikan, Google kini telah mengumumkan mereka akan menamatkan sokongan untuk Chrome Apps secara berperingkat bermula tahun ini.

Untuk makluman, Chrome Apps merupakan aplikasi pada pelayar web Chrome – yang membolehkan pengguna melakukan sejumlah tugasan seumpama menggunakan perisian biasa pada komputer mereka. Dengan perkembangan arena web hari ini, penggunaan Chrome Apps dilihat agak kurang relevan lagi, sekaligus membuatkan Google untuk menamatkan sokongan untuknya.

Perubahan ini tidak memberikan sebarang impak kepada Chrome Extensions – iaitu pemalam untuk pelayar web Chrome yang memudahkan sejumlah tugasan ketika anda melayari web.

Untuk Chrome Apps sendiri, Google akan berhenti menerima aplikasi baru ke Chrome Web Store bermula Mac 2020 ini. Sokongan untuk pengguna biasa bagi Chrome Apps di Windows, Linux dan Mac akan ditamatkan pada Jun 2020 kelak, sementara untuk pengguna perusahaan dan pendidikan pada Disember 2020.

Google akan menamatkan sepenuhnya sokongan Chrome Apps untuk Chrome OS pada Jun 2021 kelak, dan untuk pengguna perusahaan dan pendidikan pada Jun 2022.


TIPS & ULASAN