Jabra Elite 75t Kini Rasmi Di Malaysia – Harga Hanya RM949

Jabra Elite 75t Kini Rasmi Di Malaysia – Harga Hanya RM949

Diterbitkan pada Jan 16, 2020 oleh .

Jabra Elite 75t mula diperkenalkan di acara IFA Berlin 2019. Ia adalah pengganti kepada 65t. Hari ini, selepas sekitar 4 bulan diperkenalkan kepada umum Jabra Malaysia melancarkan Jabra Elite 75t. Ia adalah set fon telinga nirwayar sebenar (TWS) yang berada dalam kategori premium.

Jabra Elite 75t menjanjikan fon telinga yang lebih padat dan cengkam di dalam telinga, agar tidak mudah tertanggal. Jabra menggunakan data dari ribuan data imbasan telinga, untuk menghasilkan produk ini. Ia juga mempunyai ketahanan bateri 7.5 jam kegunaan secara berterusan dan 28 jam dengan pod pengecasan. Jika dibandingkan dengan Elite 65t, Jabra mendakwa mempunyai ketahanan bateri 90% lebih baik. Lebih menarik, pod pengecasannya menggunakan port USB-C.

Sudah semestinya, kualiti audio adalah fokus penting pada Elite 75t. Oleh yang demikian, terdapat empat mikrofon terbina untuk mengasingkan hingar dan angin. Secara tidak langsung, mendengar muzik dan menjawab panggilan telefon adalah lebih jelas dan selesa di telinga pengguna. Jabra juga telah membuat pengoptimasian pada Elite 75t agar tambatan pada peranti lebih stabil.

Jabra Elite 75t juga direka untuk tahan lasak dan mempunyai perlindungan kalis air dan debu IP55. Bluetooth yang digunakan adalah jenis 5.0, mempunyai sokongan seruan pembantu digital, dan kekal menyokong kawalan melalui aplikasi Jabra Sound+. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh menetapkan penyama, profil audio, pantau status bateri dan banyak lagi.

Sekitar suku kedua tahun 2020 ini, Jabra akan menawarkan pod pengecasan yang menyokong pengecasan nirwayar. Ia boleh dibeli sebagai aksesori tambahan. Jabra Elite 75t hadir dengan warna Titanium Black dan Gold Beige. Ia dijual di Malaysia dengan tanda harga RM949 sahaja. Ia boleh dibeli di Malaysia bermula hari ini, tetapi terhad dengan warna Titanium Black sahaja.

Untuk model yang paling terkini dilancarkan di CES 2020, Jabra Elite Active 75t – ia akan dijual di Malaysia pada bulan Mac. Beza dengan Elite 75t adalah, ketahanan kalis air dan debu adalah IP57 dan lebih sesuai untuk aktiviti lasak atau senaman ekstrem. Begitu juga dengan set fon kepala serba baharu mereka, Elite 45h. Ia akan hadir sekitar Mac kelak dan akan menjanjikan kualiti audio yang hebat.



TIPS & ULASAN