Cari @ Amanz

Huawei Mate 30 Pro tidak dinafikan adalah sebuah peranti yang amat hebat. Dari segi spesifikasi yang ditawarkan seperti paparan yang cantik, cip pemprosesan yang berkuasa, bahan binaan premium dan prestasi kamera yang amat cemerlang. Sayangnya, peranti ini tidak mempunyai Google Mobile Services (GMS). Secara tidak langsung membuatkan peranti ini sukar digunakan oleh kebanyakan orang.

Namun, menurut wakil Huawei Malaysia – sebenarnya dengan Huawei Mobile Services (HMS) pengguna boleh sahaja gunakan peranti ini seperti biasa tanpa sebarang masalah. Ini kerana mereka sendiri telah mencabar diri dengan menggunakan peranti ini bersama-sama dengan HMS sahaja. Oleh yang demikian, mereka ingin tingkatkan lagi jualan Mate 30 Pro mereka dengan menawarkan variasi 5G pula di Malaysia. Huawei Mate 30 Pro 5G mempunyai spesifikasi yang sama sahaja dengan Mate 30 Pro yang biasa. Membezakan dua peranti ini adalah cip Kirin 990 5G yang dikatakan mempunyai Image Signal Processing (ISP) dan kemampuan kecerdasan buatan yang lebih hebat. Secara tidak langsung meningkatkan kemampuan dan prestasi kamera peranti ini.

Di DXOMark, Mate 30 Pro 5G menerima skor yang paling tinggi dalam carta iaitu 123. Manakala Mate 30 Pro biasa menerima skor 121. Kami di Amanz berpeluang menguji peranti ini dari segi kemampuan kamera, prestasi dan sudah tentu kelajuan 5G pada peranti ini. Dalam artikel ini, akan kami ceritakan pendapat kami mengenai Mate 30 Pro 5G selepas menggunakannya dalam masa beberapa hari.

Spesifikasi

Huawei Mate 30 Pro 5G
Skrin 6.53″ 1176 x 2400 pixels
Flex OLED HDR10
Pemproses HiSilicon Kirin 990 5G 7nm+ EUV2
Cip 2.86 X 2 GHz Cortex A76
2.09 X 2 GHz Cortex A76
1.86 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G76 MP16
RAM 8  Gigabyte LPDDR4X
Muatan Dalaman 256GB UFS 3.0
(NM Card sehingga 256GB)
Kamera Utama 40+40+8+3D Megapixel.
f/1.8+f/1.6+f/2.4, OIS, AIS,HDR
Kamera Depan 32 Megapixel f/2.0
Bateri 4500 mAh
Pengecasan pantas 40W berwayar
Pengecasan pantas 27W tanpa wayar
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan Belum Diumumkan Lagi

Secara keseluruhan, spesifikasi masih lagi sama. Seperti yang ditulis di perenggan di atas, membezakannya hanyalah pada cip Kirin 990 5G sahaja. Jadi, skrin masih kekal bersaiz 6.53-inci Flex OLED yang melengkung 88 darjah pada kedua-dua sisi (dengan bezel tebal) – atau nama lainnya adalah skrin Horizon Display.

Pada skrin peranti ini terdapat takuk yang lebih kecil dari iPhone 11 Pro Max yang memuatkan kamera swafoto, pemancar infra merah dan sensor tiga dimensi bagi melakukan imbasan wajah. Paparan peranti ini juga menyokong HDR10, namun atas ketiadaan YouTube dan kemampuan Netflix – ia tidak dapat diuji.

Memori pada variasi 5G ini adalah 8GB RAM dengan storan dalaman 256GB UFS 3.0. Storan boleh dibesarkan dengan kad memori NM sehingga 256GB. Pembesar suara adalah mono yang pada pendapat kami tidak begitu hebat walaupun aras suaranya kuat, tetapi tidak cukup enak untuk didengari.

Untuk kamera, iaitu fokus utama sejak Huawei P20 Pro lagi adalah gabungan empat lensa – 40MP (sudut lebar f/1.6) + 40MP (ultra sudut lebar f/1.8) + 8MP (telefoto zum 30x digital f/2.4) + 3D ToF dengan teknologi SuperSensing RYYB dan Cine Camera RGGB 3:2. Rekaan kamera adalah seakan mesin basuh yang kini menjadi trend baharu. Akhir sekali adalah kamera swafoto di bahagian takuk yang menggunakan lensa 32MP f/2.0. Kemampuan video adalah 4K 60FPS dan rakaman gerak perlahan 720p 7680FPS.

Bateri yang digunakan adalah sama 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 40W, pengecasan pantas nirwayar 27W, dan mengekalkan sokongan pengecasan nirwayar peranti lain yang kali ini tiga kali ganda lebih baik. Spesifikasi lain seperti Bluetooth 5.1, NFC adalah sama. Untuk rangkaian 5G, peranti sedia menyokong kedua-dua jenis SA dan NSA.

Rekaan

Saya tidak akan tekankan begitu banyak mengenai rekaan Mate 30 Pro 5G. Ini kerana ia amat sama dengan Mate 30 Pro biasa, kecuali pada bahagian panel belakang sahaja. Di sisi kiri tiada butang, sisi kanan adalah butang kuasa, bawah adalah mikrofon, slot kad SIM, port USB-C dan kekisi pembesar suara. Atas pula adalah sensor infra-merah dan satu lagi mikrofon. Ya, tiada butang aras suara. Huawei menggunakan kawalan gestur pada skrin melengkung mereka. Pengguna perlu tap dua kali dan tatal ke atas atau ke bawah untuk mengubah aras suara. Ia boleh berfungsi pada kedua-dua belah sisi skrin.

Pada bahagian skrin, bezel adalah tebal sebenarnya jika anda teliti di bahagian skrin melengkung. Dagu pula amat nipis dan dahi adalah sedikit tebal dan tidak konsisten, disertakan dengan takuk yang mungkin sudah lapuk rekaannya – kerana kini adalah trend skrin berlubang.

Membezakan Mate 30 Pro 5G seperti yang disebut tadi adalah panel belakang. Panel belakang peranti ini tidak menggunakan kemasan kaca, tetapi sebaliknya adalah kulit. Kulit yang digunakan adalah jenis vegan, jadi ia mesra untuk semua pengguna. Warna kulit pada unit ujian kami adalah jingga, yang membuatkan kami teringat kepada Papaya Orange yang digunakan oleh OnePlus Concept One.

Memegang peranti ini adalah amat selesa, terasa premium dan mempunyai perasaan seperti bangsawan yang memiliki peranti Vertu. Kulitnya lembut, tiada masalah kotoran cap jari, memberi cengkaman yang baik dan dari jauh kelihatan sungguh seksi (kecuali kamera bulat besar seakan mesin basuh baju).

Rangkaian 5G

Mate 30 Pro adalah peranti pintar pertama dunia dengan cip pemproses 7mn+ EUV2. Melaluinya, ia menyokong penggunaan kuasa yang rendah, menyokong kedua-dua rangkaian 5G SA dan NSA, dan menyokong pelbagai band rangkaian FDD dan TDD. Bersama-sama dengannya, ia memuatkan juga sokongan NPU (Neural Processing Unit) yang meningkatkan prestasi kecerdasan buatan.

Di atas kertas, spesifikasi cip ini sepatutnya menyokong kelajuan muat turun 2.3Gbps dan 1.25Gbps kelajuan muat naik. Dalam ujian kami, kelajuan muat turun yang dapat kami capai adalah menghampiri 1.9Gbps. Manakala kelajuan muat naik pula adalah 132Mbps. Jika dibandingkan dengan rangkaian 4G, pada peranti yang sama dengan mematikan mod 5G – kelajuan muat turun adalah 118Mbps dan muat naik adalah 46.4Mbps. Ini bermakna sekitar lebih sepuluh kali ganda beza kelajuan untuk muat turun dan berganda meningkat pada kelajuan muat naik.

Ujian 5G ini dilakukan dengan kad SIM yang disediakan oleh Maxis. Menurut Maxis, rangkaian mereka sudah bersedia dengan 5G. Cuma mereka perlu menunggu jawapan dari MCMC untuk memberi kata putus bila mereka boleh sediakan pelan 5G untuk pengguna-pengguna.

Jadi apa kelebihan 5G ini? Banyak. Sangat banyak dan ada yang berada di luar jangkaan. Antara yang dapat kami uji adalah muat turun aplikasi di Huawei App Gallery, sekitar 30 aplikasi bersaiz besar dimuat turun secara serentak dan ia selesai dalam masa yang amat singkat. Kami juga berpeluang menguji panggilan video dari Mate 30 Pro 5G ke Huawei TV di tapak ujian. Lokasi adalah sekitar 2 KM, langsung tiada sela masa dan panggilan video tersebut adalah lancar.

Huawei juga menyediakan beberapa penghala CPE 5G untuk kegunaan dalam pejabat atau rumah. Ujian muat turun fail Power Point yang besar adalah pantas. Saiz sekitar 500MB selesai dalam sekelip mata sahaja. Memainkan video atas talian format 8K juga lancar dan tiada masalah.

Huawei adalah antara pembekal utama di Malaysia untuk infrastruktur 5G di Malaysia. Kedua-dua infra di tapak ujian, baik 4G atau 5G adalah dari mereka. Dalam ujian kami, kebanyakannya adalah ujian 5G SA – iaitu menggunakan infra 5G tersendiri dan bukannya infra 4G yang ditingkatkan kuasa.

Kemampuan Kamera

Dengan ISP yang lebih pintar dan berkuasa, peranti ini adalah peranti pintar dengan kamera yang paling hebat. ISP telah ditingkatkan sebanyak 15% lebih berkuasa dengan kemampuan membuang hingar, hasil gambar yang lebih semula jadi, warna yang lebih hidup dan jitu.

Kami fokuskan kepada tiga mod, zum, potret, dan mod malam. Kerana menurut DXOMark, tiga mod ini yang mempunyai perubahan yang paling ketara. Dukacita dimaklumkan, mod sudut ultra lebar pada variasi 5G adalah lebih lemah berbanding variasi 4G. Ini kerana algoritma baharu yang terlampau pintar digunakan, membaiki masalah herotan secara terlebih-lebih. Secara tidak langsung menjadikan pandangan sudut ultra lebat pada peranti ini kurang lebar.

Berikut adalah beberapa sampel gambar yang telah kami rakamkan.

Prestasi zum imej adalah meningkat berbanding Huawei Mate 30 Pro biasa. Algoritma dan cip pemprosesan Kirin 990 5G membantu mengurangkan hingar dan memberikan prestasi yang lebih hebat.

Tidak kira apa jua situasi, menggunakan mod zum untuk mengambil gambar adalah puas hati. Dari zum 3x, pergi ke 5x dan sehinggalah zum 30x – ia berfungsi dengan baik.

Melalui peranti variasi 5G ini, mod potret dan gambar waktu malam juga mempunyai hasil yang lebih cemerlang. Kecerdasan buatan pada peranti ini mampu “melembutkan” gambar dengan baik bagi membuang hingar. Seterusnya, pengesanan sisi pada subjek gambar adalah baik untuk menghasilkan gambar bokeh yang berkualiti.

Sedikit kekurangan adalah pada gambar sudut ultra lebar. Seperti yang disebut di perenggan awal, algoritma baharu terlampau pintar sehinggakan imej dengan pandangan sudut lebar kelihatan seperti biasa sahaja. Warna juga adalah kurang menarik berbanding mod-mod lain.

Mengambil gambar pada jarak dekat adalah menarik. Warna adalah lebih hidup, butiran adalah lebih jelas, segalanya adalah lebih jitu – atau nilai keHDRannya adalah memuaskan. Imej di atas adalah dari rakaman biasa sehingga 30x zum dan ia memberikan hasil yang menakjubkan.

Gambar swafoto pada pandangan kami adalah yang paling lemah. Hasilnya tidak begitu memberangsangkan, walaupun berada di luar dengan cahaya matahari yang terik. Butiran adalah baik, tetapi warna pada imej adalah sedikit pudar dan kurang menyerlah.

Akhir sekali adalah gambar waktu malam. Dalam semua mod, mod malam mampu mengambil gambar yang gelap dengan kualiti yang tinggi, hingar yang kurang dan butiran yang membuatkan kami rasa WOW. Imej di atas adalah sampel biasa, sudut ultra lebar dan zum. Lihat sahaja, anda pasti akan teruja.

Prestasi

Dalam ujian tanda aras, Mate 30 Pro biasa menerima skor Geekbench 5 764 markah dalam ujian satu teras dan 2822 markah dalam ujian multi teras. Ujian AnTuTu 3D pula, mencatatkan 342,070 markah. Pada Huawei Mate 30 Pro 5G, skor yang dicatat adalah 780 markah ujian satu teras dan 3163 markah untuk skor multi teras dalam Geekbench 5. Pada AnTuTu 3D pula, skor yang dicatat adalah 489393. Prestasinya adalah amat cemerlang dan mempunyai perbezaan yang amat ketara.

Menggunakan peranti ini dalam masa beberapa hari juga sudah rasa kehebatannya. Disebabkan variasi 5G turut mempunyai kemampuan kecerdasan buatan yang lebih hebat, skor kecerdasan buatan melalui aplikasi AnTuTu AI adalah 140483 markah.

Bermain permua mempunyai pengalaman yang lebih kurang sama sahaja. Tetapi perasaan bermain permua, membuatkan kami teruja dan berasa amat puas hati. Ini turut berterima kasih kepada enjin Kirin Gaming+ 2.0 dan GPU Mali-G76 MC16.

Bateri

Penggunaan yang singkat sebenarnya tidak cukup untuk uji ketahanan bateri peranti. Ini kerana unit yang kami uji tiada kad SIM diletakkan. Semua ujian 5G diuji pada peranti lain. Jadi ketahanan bateri yang kami uji adalah dari penggunaan WiFi, paparan, kamera, ujian tanda aras, bermain sedikit permua, sosial media dan penyelarian akaun.

Kami mula menerima unit yang baharu. Ia masih berada dalam plastik dan belum digunakan lagi. Bateri pada ketika itu adalah sekitar 50% dan pada hari pertama di waktu malam, baki bateri adalah 7%. Penggunaan adalah selama 7 jam lebih dan SOT pula adalah 3 jam. Ini memberikan petanda yang baik.

Hari kedua kami uji selepas dicas sehingga 100%. Kemudian masa penggunaan peranti adalah hampir 10 jam dengan SOT 2 jam 27 minit. Baki bateri adalah 57% pada waktu malam.

Konklusi

Huawei sekali lagi telah membuktikan yang mereka adalah sebuah syarikat yang cemerlang dalam menghasilkan telefon pintar. Spesifikasi yang hebat bukan sahaja di atas kertas, tetapi turut terbukti dalam dunia realiti dengan penggunaan sebenar. Kehebatan kamera juga berada di luar jangkaan dan memberi pengalaman seakan jurugambar profesional.

Adakah dengan penawaran 5G di Malaysia akan menarik perhatian ramai? Pendapat jujur kami mungkin tidak. Ini kerana harga pasti mahal dan kemudian tiada Google Play Store. Harga mungkin pada sesetengah individu tidak menjadi masalah. Masalah utama adalah Google Play Store yang sukar untuk dipasangkan. Namun, kami yakin bagi mereka yang berminat dengan alam fotografi peranti mudah alih – Huawei Mate 30 Pro 5G adalah peranti yang patut anda pilih.

Buat masa ini tiada harga atau tarikh jualan lagi. Wakil Huawei Malaysia mengatakan yang, ia akan dijual tidak lama lagi. Akan tetapi, kelak jika sudah mula dijual – pengguna hanya boleh memanfaatkan kehebatan kamera sahaja dan bukannya 5G. Ini kerana kad SIM 5G setakat ini belum lagi dijual di Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd