Carian
Rekaan Dan Spesifikasi Samsung Galaxy Z Flip Tertiris – Peranti Tri-Skrin Lipat Pertama Dunia?
January 21, 2020 Effi Saharudin

Pelancaran Samsung Galaxy Z Flip (yang juga dilaporkan sebelum ini sebagai Fold 2 dan Bloom) akan berlangsung 11 Februari hadapan di San Francisco. Terdapat pelbagai spekulasi mengenai peranti skrin boleh-lipat kedua dari Samsung ini. Hari ini dua maklumat baharu mengenainya mula tertiris ke arena web.

Maklumat pertama ialah rekaan sebenar peranti yang kini didakwa berbentuk huruf Z pula berdasarkan imej promosi yang telah tertiris. Ia seakan-akan memberikan petanda peranti ini boleh mempunyai tiga panel skrin yang boleh dilipat. Secara ikhlas kami katakan besar kemungkinan ini bukan rekaan akhir kerana ia tidak pernah dipatenkan oleh Samsung dan tidak pernah diacah langsung oleh mereka.

Maklumat kedua pula ialah spesifikasi dari peniris maklumat ternama di Twitter Ishan Argawal. Menurut beliau Z Flip akan dilengkapi skrin 6.7″ Dynamic AMOLED, kamera utama 12MP, kamera swafoto 10MP, storan 2456GB dan bateri di antara 3300-3500 mAh. Sebelum ini kami laporkan Z Flip akan menggunakan pemproses Snapdragon 855.

Tinggal kurang sebulan sahaja lagi sebelum peranti dilancarkan dan misteri mengenai spesifikasi akan akhirnya terjawab. Persoalannya ialah adakah sambutan ke atas Z Flip akan lebih tinggi berbanding Galaxy Fold yang sudah terjual melebihi 500,000 unit setakat ini.

Komen