Cari @ Amanz

Membasuh baju yang kotor ialah aktiviti yang biasanya dilakukan pada hujung minggu dan mengambil masa. Kami yakin ramai di kalangan pembaca yang pernah memikirkan peranti yang boleh membasuh baju dengan hanya meletakkannya ke dalam almari. Samsung AirDresser ialah almari yang dilengkapi sistem pencuci stim terbina. Selepas dilancarkan di Korea Selatan pada tahun 2019, AirDresser kini akhirnya ditawarkan kepada pengguna global.

AirDresser boleh mencuci tiga pasang jaket dan seluar secara serentak. Proses cucian bermula dengan mengalirkan udara pada pakaian untuk membuang kotoran, debu dan partikel. Kemudian stim bertekanan tinggi digunakan pula bagi membunuh serangga dan menghapuskan bau dari pakaian. Menurut Samsung pakaian bukan sahaja boleh dicuci ketika digantung, malah proses cucian AirDresser boleh memanjangkan hayat fabrik.

Kawalan AirDresser dilakukan menerusi skrin sesentuh pada bahagian hadapan atau menerusi aplikasi telefon pintar. Ia boleh diletakkan di dalam bilik tidur dengan sistem takungan air tersendiri untuk berfungsi. Buat masa ini harga jualan masih belum diumumkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd