Illegear IONIC Dilancarkan Khusus Untuk Pengkarya Digital Dengan Harga Bermula RM3899

Illegear IONIC Dilancarkan Khusus Untuk Pengkarya Digital Dengan Harga Bermula RM3899

Diterbitkan pada Jan 22, 2020 oleh .

Komputer jenama Illegear biasanya dipasarkan untuk golongan peminat permainan video tegar lengkap dengan spesifikasi yang tinggi. Tetapi mereka baru sahaja melancarkan Illegear ICONIC yang menyasarkan pula pengkarya digital yang ingin melakukan kerja ketika di luar pejabat.

ICONIC dilengkapi skrin 15.6″ IPS LCD HD penuh Infinivision yang mampu memaparkan 100% warna sRGB, dijana cip Intel Core i7-10510U, GPU NVIDIA GeForce MX250 2GB GDDR5, memori sehingga 16GB DDR4 RAM dan storan sehingga 4TB M.2 PCIe NVMe SSD. Bagi memastikan capaian internet terpantas, ia turut menyokong WiFi 6.

Sistem audio stereo 2W dengan Sound Blaster Cinema 5 disertakan bagi memberikan pengalaman audio yang memuaskan. Dengan bateri sebesar 92Wh pula, ICONIC boleh digunakan hampir sepanjang hari. Walaupun ia menyasarkan pengguna profesional, papan kekunci masih dilengkapi lampu berwarna putih. Pilihan I/O adalah 1x HDMI 2.0, 1x USB 3.1 Gen 1 type C, 2x USB 3.1 Gen 1, 1x USB 2.0, 1x bicu mikrofon, 1x bicu fon kepala dan 1x LAN RJ-45.

Tubuh komputer riba diperbuat daripada aloi magnesium dengan berat keseluruhan sekitar 1.45 kilogram dan tebal 15mm. Di Malaysia Illegear ICONIC ditawarkan pada harga bermula dari RM3899 sebuah.


TIPS & ULASAN